Tokoh Pejuang Islam - Izzuddin Al Qassam
( Briged Izzuddin Al-Qassam )
Izzudin al-Qassam dilahirkan di Syria pada tahun 1882 di Jabalah, Utara
Syria dalam keluarga sufi. Nama sebenar beliau adalah Muhammad Izzuddin
bin Abdul al-Qadir bin Mustapha bin Yusuf bin Muhammad al-Qassam. Bapa
beliau seorang guru Quran di kampung.
* Anak Didik Sheikh Muhammad Abduh
Beliau mendapat ijazah pertama di Universiti al-Azhar pada tahun 1906.
Di al-Azhar, beliau sempat menuntut dari seorang tokoh reformis, Sheikh
Muhammad Abduh. Semasa menuntut di sana, beliau menunjukkan
kecenderungan berdakwah. Selepas menamatkan pengajian, beliau menjadi
guru dan imam. Sebagai pendidik dan pendakwah, beliau sering memberi
penerangan kepada masyarakat mengenai isu-isu semasa daripada sudut
pandangan Islam. Usaha dakwah beliau ini bejaya mengubah pemikiran
supaya cenderung kepada kebangkitan Islam.
Selepas Itali
menceroboh Libya pada tahun 1911, beliau mengisytiharkan jihad pada
Itali. Beliau bertindak mengumpulkan sukarelawan untuk berangkat ke
Libya bagi berjihad. Semasa Perang Dunia Pertama, beliau menyertai
pasukan tentera Empayar Uthmaniyah dan ditempatkan di Damascus.
Pada tahun 1920, berlaku Revolusi Syria yang mencetuskan perang Melson.
Izzuddin mengumpulkan sepasukan sukarelawan bagi berperang dengan pihak
Perancis. Pada tahun 1921, beliau adalah individu penting dalam
penentangan terhadap Perancis di Syria. Namun, serangan demi serangan
tentera Perancis memaksa beliau dan pengikutnya berundur ke Haifa,
Palestin. Di sini, beliau membuka sebuah sekolah bagi mengajar golongan
bawahan.
* Tokoh Gerakan ‘Black Hand’
Izzuddin dianggap
sebagai mujahid kerana dia memahami perancangan Zionis yang mahu
mendirikan sebuah negara Yahudi di Palestin. Beliau juga tahu terdapat
pakatan sulit antara Zionis dan Amerika Syarikat serta British
khususnya. Beliau sering memberi ucapan-ucapan di Masjid An-Nasr dan
Masjid Istiqlal bagi memberi kesedaran dan membangkitkan semangat para
pengikutnya.
Pada tahun 1927, beliau memimpin Jam’iyah
Asy-Syubban A-Muslimin (Persatuan Pemuda Muslim) yang beribu pejabat di
Kota Haifa. Selama bertahun-tahun, beliau berusaha memberi kesedaran
kepada masyarakat Arab Palestin mengenai rancangan jahat Zionis dan
mempersiapkan mereka bagi menghadapi jihad dengan rejim Zionis. Usaha
beliau juga banyak tertumpu kepada menyatukan penduduk Palestin.
Pada tahun 1929, beliau dilantik menjadi Kadi Nikah di Mahkamah Syariah
di Haifa. Melalui jawatan ini, beliau sering turun ke utara Haifa di
mana pelarian Palestin yang hidup serta daif berkampung. Di sana, beliau
mengumpulkan pasukan-pasukan gerila bagi bertempur dengan pihak British
dan Yahudi.
Lambat laun, beliau menjadi terkenal dalam kalangan
golongan bawahan. Selepas pembunuhan beramai-ramai di Hebron pada tahun
1929, beliau menubuhkan kumpulan “Black Hand”, sebuah gerakan bersenjata
anti-British yang berjaya merekrut hingga 800 ahli.
* Syahid di Jalan Allah
Pada tahun 1930-an, usaha beliau mendapat sokongan daripada Parti
Istiqlal. Pada tahun 1931, pasukan bersenjata yang dibentuk beliau
menyerang sebuah perkampungan Yahudi di Yagur. Bertitik dari Yagur,
pasukan Izzuddin meneruskan serangan hingga tersebar ke seluruh wilayah
pergunungan pada tahun 1935.
Pada 20 November 1935, unit beliau
seramai enam orang bertempur dengan tentera British berhampiran Ya’bad.
Pihak British turut dibantu oleh pesawat tempur. Dalam pertempuran
berani mati, beliau dan dua orang pengikutnya terkorban. Pemergian
Izzuddin membangkitkan penentangan yang lebih hebat pada penjajah
Zionis.
Hari ini nama beliau sinonim dengan pasukan berani mati,
Briged Izzuddin al-Qassam, sebuah sayap bersenjata Hamas sebagai tanda
mengingati perjuangan Izzuddin memperjuangkan kemerdekaan Palestin.
Bersama kita bersatu hati dan suara memupuk semula perpaduan dan bersatu atas panji Allah dalam menegakkan agama islam yang dicintai. Doakan keselamatan dan semoga Allah melindungi saudara kita di bumi Gaza Palestin dan seluruh negara-negara islam yang dijajah secara terang-terangan secara zalim oleh musuh islam. Bersatu ummah, bersatu dalam doa memerangi musuh akhir zaman. Segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan segala khilaf dan salah itu datangnya dari kesilapan saya sendiri. Salam Ramadhan ~
~ Wassalam ~
Rizali Masri
\(*_^)/
Saya dah namakan anak saya Muhammad Izzuddin. =)
ReplyDelete