ads top

Eksplorasi Tanjung Buai Johor


Dalam eksplorasi kali ini, lokasi pilihan adalah aktiviti memancing di kelong laut. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah dari Bandaraya Johor Bahru manakala dalam 30 minit dari Desaru, Bandar Penawar ke Pantai Tanjung Buai yang terletak jauh ke pedalaman kampung. Namun dengan adanya jalan yang berturap memudahkan perjalanan untuk ke destinasi kali ini. Tanjung Buai yang terletak di Kota Tinggi, Johor merupakan antara kawasan pilihan para pemancing dan pelancong kerana lokasinya yang berhampiran dengan kawasan pantai yang luas terbentang dan landai seperti Desaru, Tanjung Balau, Sedili dan Pengerang pasti menggamit mata memandang. Selain itu, banyak kemudahan seperti hotel, pusat peranginan dan homestay turut disediakan dikawasan sekitar untuk para pengunjung dalam tujuan memenuhi cuti-cuti Malaysia anda.



Menceritakan pengalaman destinasi kali ini, aktiviti memancing ini merupakan antara hobi dan juga pengalaman baru buat saya. Selain daripada aktiviti memancing di tepi sungai, parit-parit dan juga tepi pantai, aktiviti memancing di kelong juga merupakan suatu pengalaman baru yang amat berharga. Cuma bezanya memancing di kelong laut memerlukan anda untuk mengeluarkan kos dari segi penyewaan kelong, bekalan umpan seperti udang, umpun-umpun, sotong dan juga ikan. Selain itu, aktiviti ini memerlukan anda untuk menyediakan kelengkapan memancing yang mencukupi. Kalau tidak, nampak gayanya kepuasan memancing bukan ditahap maksimum kerana anda berada di atas air. Namun begitu, anda boleh meminta pesanan kepada pemilik kelong untuk memesan makanan atau perkara lain seperti umpan dan juga bekalan air, cuma harga yang dikenakan agak mahal sedikit dari harga biasa kerana upah penghantaran dan kos minyak bot ke kelong anda.


Pemilihan hari dan cuaca serta pasang surut air turut memainkan peranan penting. Oleh itu, banyak perkara baru dan juga ilmu baru dapat dipelajari disepanjang aktiviti ini. Tempahan awal kelong, waktu pasang surut air dan juga pastikan anda menyediakan air batu yang banyak untuk pastikan umpan dan hasil tangkapan anda sentiasa segar daripada berbau busuk kerana tempoh memancing yang panjang. Kebiasaannya aktiviti ini sesuai disertai antara 4 orang dan tidak lebih dari 10 orang mengikut saiz kelong yang anda sewa. Ini bagi memastikan kawasan yang selesa bagi melontar tali joran anda kerana biasanya pemancing membawa lebih kurang 2-4 batang joran seorang. Bayangkan kalau ada lebih kurang 30 joran di atas kelong sudah pasti ada yang mengamuk kerana tali joran anda kusut dan tersangkut antara satu sama lain. Oleh itu, pastikan arus dan cara balingan ke laut kerana air laut ada arus pasang surut.


Hasil tangkapan memancing sudah pastinya sesuatu perkara yang amat memuaskan pemancing. Ini kerana, joran anda telah mendapat “lesen” dan juga membuktikan kehebatan anda! Pastikan anda merekod atau menangkap gambar hasil tangkapan kerana bukan mudah anda merasa saat itu di tempat lain. Namun, pada waktu malam atau gelap pastikan setiap hasil tangkapan disuluh dahulu sebelum dinaikkan ke atas kelong, ini bagi mengelakkan sebarang ikan berbisa terkena anda. Sekiranya pemancing terkena sengat ikan sembilang atau ikan pari, alamatnya hospital lah tempat dituju. Saranan untuk mereka yang masih baru agar mengajak sekurang-kurangnya seorang yang mahir dalam aktiviti memancing ini kerana sudah biasa dan dapat mengenal jenis ikan berbisa seperti ulat bulu, ikan pari, sembilang dan pelbagai jenis ikan lain daripada terkena anda. Keselamatan anda harus diutamakan..!


Memasak di atas kelong memang sesuatu pengalaman berguna buat saya. Inilah untungnya jika anda pandai memasak. Rata-rata kelengkapan makanan adalah yang simple sebab anda makan sebab lapar bukan nak buat candle light dinner =) so, biasanya cuma bawa bahan-bahan yang ringan dan mudah seperti perencah secukup rasa, sambal tumis, kicap, sos atau segala keperluan yang biasa-biasa, masukkan bahan tersebut dalam bekas yang kecil cukup-cukup untuk kawan-kawan mancing je. Biasanya time untuk makan, dalam tgh malam atau tengah pagi sebab waktu ini memang amat lapar, kejutkan sekali mereka-mereka yang tidur sebab biar semua dapat makan. Air paip dalam botol turut disediakan, disarankan bawa air mentah tambahan sendiri untuk ambil wudu' atau basuh muka. Dalam aktiviti seperti ini biasanya mereka yang turut serta dah tahu kerja masing-masing. Oleh itu, mudahlah segala aktiviti berjalan dengan lancar. Kalau ada hasil tangkapan yang nak diwakafkan, bolehla dimasak sekali.. segar dari ladang seperti ketam yang kami masak dan ikan-ikan ini..

Dalam sepanjang tiga aktiviti eksplorasi memancing kami kali ini, pelbagai jenis ikan dan juga pelbagai nama baru turut saya belajar dan baru berpeluang memegang fizikal spesis tersebut depan mata sendiri. Antaranya adalah seperti ikan duri, ikan gelama, ikan kerapu, ikan merah, ikan sembilang, ikan senangin, ikan kitang (baru first time dengar..haha), ikan pipih, ikan pari, udang ketak, ketam dan juga ikan yu (jerung). Selain itu, ada juga tapak sulaiman yang turut tersangkut pada mata kail kami. Tidak dilupakan juga binatang yang seperti ular yang bila makan umpan memang macam ikan seberat 30KG..! Itu adalah spesis ikan berlin (saya pun baru 1st time dengar), tapi ada juga spesis yang hampir sama tapi boleh dimakan iaitu malong..haha. saya sendiri pun tak tahu nak bezakan, kena tanya pada yang pakar jenis-jenis ikan ni. Suatu pengalaman berharga dan juga sudah semestinya suatu kepuasan berganda kerana jumlah hasil tangkapan turut sentiasa memuaskan dan tidak mengecewakan pemancing.


Setelah tiga kali pengalaman aktiviti memancing di kelong ini dirasai, setiap penambahbaikan turut diperbaiki yang sudah semestinya memastikan kepuasan dan keselesaan anda semua ditahap tertinggi. Suatu pengalaman baru yang cukup berguna untuk dikongsi bersama. Antara pengalaman disepanjang aktiviti ini yang patut dikongsi adalah antaranya memasak di atas laut, mabuk laut, berembun, berhujan, terkena sengat ikan duri, terkena sengat ulat bulu, tak mandi satu hari, tangan muka rambut seluar baju semua bau ikan, jari tercucuk mata kail, kesejukan tahap maksimum dan juga adakalanya kepanasan tahap maksimum turut dirasai. Selain itu, memang merupakan suatu pengalaman berharga bilamana saya dapat melihat sendiri untuk kali pertamanya di depan mata apabila ikan duri memakan umpan salah seorang pemancing dan belum sempat di tarik ke atas kelong antara 1 meter sahaja lagi, ikan tersebut telah dibaham oleh seekor ikan Alu-alu yang amat besar lebih kurang 40KG!! Macam tak percaya pun ada sambil teruja yang amat sangat. Bagi anda yang inginkan keselesaan, antara keperluan berguna untuk anda yang ingin merasai pengalaman berharga ini, sila pastikan anda membawa :

  • MP3 Player / Handphone + earphone kerana setiap seorang akan pasang lagu (cacamarba bunyi)
  • Sarung tangan (sebab nak jaga kelembutan tangan..haha) sebab mudah nak pegang ikan licin
  • Air masak/kuaci/kacang/makanan ringan (sebab boleh makan time tunggu ikan makan umpan)
  • Botol air mineral yang beku (sebab ais jauh lebih lama tahan cair daripada beli ais kat kedai)
  • Beg plastik sampah yang besar (untuk masukkan semua peralatan semasa naik bot)
  • Kotak polystyrene besar dalam 2 kotak untuk umpan (ais) dan hasil mancing (ais)
  • Alat-alat kecemasan terutama minyak angin dan minyak cap kapak (takut ada orang mabuk laut)
  • Tikar lipat/sandal/kasut/baju hujan/sleeping bag/kamera/ Batu ladung saiz besar
  • Bawa loceng joran dan batang berwarna (lampu hijau bila dipatahkan dan letak dihujung joran)
  • Baju sejuk / sweather suatu kemestian bagi mereka yang tak tahan sejuk sebab amat sejuk time pagi-pagi

Rata-rata harga untuk menyewa kelong untuk 24 jam adalah lebih kurang RM15-RM50 untuk seorang mengikut saiz kelong pilihan termasuk penghantaran bot pergi dan balik. Cuma banyak kos dihabiskan untuk membeli umpan yang mahal seperti udang hidup dan umpun-umpun dalam kuantiti yang banyak mengikut jumlah pemancing. Biasanya kelong yang disewa menyediakan dapur memasak, tandas, air mentah satu tong dan lampu pada waktu malam dan anda juga tidak diganggu oleh kumpulan pemancing lain. “Hanya kita-kita aje”. Disarankan anda turut bawa lampu picit serta peralatan tambahan lain untuk kegunaan peribadi. Undang-undang paling kerap dilakukan ketika pembahagian hasil adalah hanya ikan-ikan besar dan special saja yang diambil oleh tuan punya ikan. Bagi ikan-ikan yang kecil dan banyak, hasil dibahagikan sama rata kepada semua pemancing secara adil. Ini bagi memastikan semua pemancing puas walaupun tidak dapat menaikkan sebarang ikan atau baru belajar serta mabuk laut. Itulah antara keunikan eksplorasi ini yang patut anda rasakan.


Akhir sekali, suatu perjalanan yang agak meletihkan juga tetapi menyeronokkan dengan pelbagai ilmu serta pengalaman yang baru. Pastikan anda stabilkan diri dulu bila sampai ke darat semula, kerana mungkin anda akan rasa tanah turut bergoyang akibat berada di laut yang beralun terlalu lama. Sebab saya merasakan bumi bergoyang2 dan pening-pening lalat juga dibuatnya..haha. Cukup setakat ini perkongsian aktiviti untuk eksplorasi kali ini. Andai ada kesempatan bersama, mari sertai kami dalam pelbagai aktiviti eksplorasi seterusnya kerana ada banyak lagi perancangan aktiviti dan lokasi lain dalam aktiviti seterusnya. Atau mungkin anda sendiri ada cadangan dan idea menarik lain untuk dikongsi bersama, amat dialu-alukan. Sudah semestinya “Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan”. Sekian :-) 

Share on Google Plus

Tentang Rizali Masri

RizaliMasriDotCom asasnya adalah sebuah website peribadi yang berkongsi artikel berkenaan keusahawanan, motivasi, isu semasa, kesihatan, ilmu pengetahuan dan travelog. Kini, website ini turut menyediakan pelbagai tawaran kursus keusahawanan, video marketing, membina website / e-commerce. Hubungi saya di 011-1636 2729.

0 respons pembaca:

Post a Comment

Hi everyone .. please leave your comment here