ads top

Kepentingan Berzakat Dan Bersedekah

Hari ini amat letih sedikit kerana ada perjumpaan dan perbincangan dengan rakan-rakan perniagaan petang tadi. Malam tadi baru sampai rumah dan baru sudah mandi. Ingin saya kongsikan sedikit ilmu lagi untuk anda semua walaupun badan saya agak letih sebab sudah pukul 3 pagi. Tapi tidak mengapa kerana ilmu yang di sampaikan juga merupakan suatu sumbangan biasa dan derma buat saya asalkan ianya amat memberi manfaat kepada semua pembaca setia saya walaupun ada pembaca dari luar negara =) Bila sudah habis menulis di blog ini baru saya teruskan semula dengan kerja saya. Terima kasih dan teruskan membaca. Topik yang ingin saya kongsikan pada hari ini adalah berkenaan dengan Kepentingan Berzakat Dan Bersedekah. Semoga dengan sedikit ilmu ini dapat memberi manfaat kepada kita semua =)



Dalam hadis sahih ada menyebut, harta kita tidak akan berkurangan sekiranya kita berzakat dan bersedekah. Ianya adalah amat benar. Lagi banyak kita memberi sumbangan dengan ikhlas kerana Allah, maka lagi banyak kita akan terima sebagai ganjarannya.

Memetik rangkap kata-kata kawan baik saya, "Kejarlah dunia seperti kamu akan hidup selama-lamanyanya, dan kejarlah akhirat seperti kamu akan mati pada esok hari". "hadis - Saidina Ali Karamallahuwajhah : sedekah satu, Allah balas 10 kali ganda". Dan secara praktikaliti pada zaman sekarang, kalau kita sedekahkan RM10 kita akan dapat ganjaran RM100 dalam bentuk yang berbeza =) Kata-kata ini mengingatkan kita untuk mengejar harta kekayaan dunia yang terbentang luas dan melakukan ibadat dengan seimbang dan malah lebih baik daripada mengejar duniawi. Islam mengajar kita untuk menjadi seorang yang mengejar kejayaan dan kekayaan, kerana dengan kejayaan dan kekayaan itulah dapat kita salurkan kepada yang memerlukan =) lebih kurang macam itulah tafsiran saya, maaf sekiranya ada tersilap tafsiran.


Suatu perkara yang saya masih ingat hingga ke hari ini. Pesan ibu saya semasa saya di sekolah rendah dulu, "Tidak akan kayanya kita kalau terlalu kedekut untuk bersedekah, dan tidak akan miskinnya kita kalau kita selalu bersedekah". Suatu kata azimat dan merupakan prinsip hidup yang tetap saya amalkan hingga ke hari ini. Terima kasih ibu =) Kata-katamu merupakan inspirasi hidupku hingga ke hari ini. Semoga ibu bangga mempunyai anak seperti saya dan insyaAllah saya akan tetap cuba amalkan segala didikan dari kecil itu sampai bila-bila.

Kadangkala, rezeki yang Allah berikan muncul dalam pelbagai bentuk yang berbeza-beza. Tapi teringat saya daripada apa yang seseorang pernah ceritakan pada saya berkenaan ayat ini yang maksudnya lebih kurang, "cubalah kita dermakan RM10 ringgit, dan "GUARANTEE" kita akan dapat balik duit itu semula dan biasanya jumlahnya akan lebih malah berganda". Masa itu, saya masih kecil lagi, teruja juga dengan perkataan "GUARANTEE" dapat semula itu dan teringin untuk cuba menderma di masjid, dan memang saya dapat semula duit itu dengan jumlah yang berganda pada beberapa hari seterusnya =)

Ini juga menceritakan kisah benar dalam hidup saya, tiada niat untuk menunjuk-nunjuk  atau riak, cuma sekadar kita berkongsi pengalaman sebenar yang mana ianya adalah untuk kebaikan kita semua. Semasa saya di tingkatan tiga, masa itu saya baru balik dari sekolah berasrama penuh di Muzaffar Syah Melaka dan tiba di terminal larkin dalam lebih kurang pukul 4 pagi seorang diri. Masa itu duit dalam poket cuma ada dalam RM20, tiba-tiba muncul seorang pakcik tua berjumpa saya dan mintak tolong untuk bagi sedikit duit tambang bas. Pada pukul 4 pagi macam itu memang tiada ramai orang di terminal bas. Katanya beliau bekas banduan dan sudah lebih 10 tahun berada di penjara, anak dan isteri beliau sudah tidak pernah melawat beliau di penjara. Akibat terlalu rindukan rumah halamannya di Segamat, beliau minta sedikit bantuan mana-mana yang mampu saya tolong untuk tambang bas, keadaan beliau memang amat kasihan, sehelai sepinggang membawa diri dan masa itu saya sedang menunggu abang saya datang ke terminal larkin untuk jemput balik ke rumah. 

Saya tanya macam-macam soalan sebab nak tahu lebih lanjut, kasihan pun ada, sedih pun ada. Dengan melihat dari raut wajah beliau kelihatan seorang yang bersih dan jujur. Saya bawa beliau ke platform bas yang membawa ke Segamat kerana saya sudah biasa dengan terminal bas larkin sebab sudah bertahun membesar menaiki bas dari Johor ke Melaka,  seterusnya saya menghulurkan segala wang saya dalam dompet kepada beliau untuk tambang bas ke segamat, dan saya kata kepada beliau, "Pakcik, ini saja duit yang saya ada, tapi pakcik jangan risau sebab nanti abang saya datang jemput, pakcik ambil duit ini semua untuk buat tambang bas, nanti sampai di Segamat, pakcik naik teksi dan kalau tidak cukup duit, pakcik minta anak-anak pakcik di rumah untuk bayar baki duit teksi itu". Sewaktu bas sudah mula hendak bergerak, pakcik itu pegang tangan saya dan salam tangan saya dengan kuat sambil menangis dan berkata, "pakcik tidak ada duit hendak balas jasa baik anak, cuma pakcik mampu doakan semoga Allah membalas segala jasa baik anak pada pakcik". 

Itulah pertama kalinya hati saya tersentuh sampai berair mata saya apabila mendengar luahan kata-kata dan doa ikhlas seorang lelaki tua yang berpangkat seusia datuk saya kepada seorang budak mentah seperti saya. Tapi saya tetap ingat pesan ibu setiap kali saya keluar rumah. Alhamdulillah, perkara itu berterusan terjadi dalam sela masa lebih kurang 5 tahun selepas itu dan terjadi sekali lagi pada pertengahan tahun lepas semasa saya berada di depan bank. Seorang pakcik tua juga, memang saya perhatikan beliau ada berjumpa ramai orang namun tidak di layan, dan kemudian beliau menghampiri saya dan bertanyakan beberapa soalan, namun semua soalan beliau saya jawab dengan baik =) Pakcik itu baru lepas melawat anak beliau di asrama kerana tidak sihat, dan kemudian beliau solat di surau. 

Namun beliau sedari dompetnya telah tiada. Mungkin kerana dicuri atau tercicir katanya sebab sudah tua. Beliau ada membuat laporan polis dan hendak menunjukkan surat laporan polis andai saya tidak percaya, tapi saya  menolak kerana kasihan melihat pakcik itu sebab dah ramai orang lain tidak melayan kata-kata beliau yang meminta bantuan untuk beliau pulang ke kampung di Segamat atau Batu Pahat tidak silap saya. Melihat raut wajah pakcik itu yang berkopiah, rambut beruban, meletak baju sejuk hitam (agak lusuh) dililit pinggang dan kata-katanya membuatkan saya percaya. Dan beliau sudah 2 hari tidak makan, tapi beliau tidak tahu macam mana hendak menghubungi orang kerana tiada sebarang nombor telefon dan tidak tahu hendak merujuk kepada siapa. Dari raut wajahnya, saya tahu beliau seorang pakcik kampung yang mungkin tidak biasa dengan hal-hal berkaitan teknologi yang sedia ada sekarang. 

Saya amat  berhati-hati dalam menolong orang dan mengikut situasi malah kemampuan diri, lagi pula perkara yang melibatkan wang ringgit kerana tidak mahu ditipu dan diambil kesempatan oleh orang lain. Oleh kerana saya tidak mahu menjatuhkan air muka pakcik itu, saya mengajak beliau untuk masuk ke dalam kereta saya dan berbual-bual dengan beliau sambil saya bertanyakan perkara sebenar. Setelah tiba di terminal bas, saya hulurkan duit sebanyak RM25 untuk tambang bas di dalam kereta kerana saya tidak mahu orang lain lihat, dan semasa pakcik itu membuka pintu kereta, saya panggil semula dan tambah lagi RM5 untuk duit makan beliau kerana saya tahu beliau belum makan manakala saya pula terpaksa pulang cepat ke kampung sebab hendak menziarah pusara arwah adik dan makan di rumah sebab terlalu lapar kerana saya pun tidak makan lagi dari pagi. 

Dan seperti biasa, saya perhatikan pakcik itu masuk ke dalam bas sehingga bas mula bergerak. Tersenyum saya dalam hati, mungkin pakcik tadi itu dalam kesusahan dan saya hadir untuk menghulurkan bantuan yang mungkin bukan seberapa besar nilainya, tapi sekurang-kurangnya saya sudah melakukan suatu perkara yang perlu saya buat ketika ada orang lain ditimpa musibah dan memerlukan bantuan. Setelah beberapa kejadian seperti itu berlaku dalam hidup saya, saya mula sedari bahawa walaupun ketika saya melanjutkan master di UTM, dengan tiada duit dan hidup yang susah, saya dikurniakan ramai kawan-kawan yang terlalu pemurah, baik hati dan sentiasa menolong saya ketika saya susah. Hampir setiap makan dan urusan saya dibelanja oleh kawan-kawan yang memahami keadaan saya kerana elaun pengajian yang diberikan tidak mencukupi beban kehidupan saya yang sebelum ini pernah bekerja dan telah memiliki kereta, rumah dan juga bebanan lain. Syukur alhamdulillah, suatu perkara yang amat luar biasa saya rasakan, walaupun kesemua kad ATM saya di 5 jenis bank semuanya kosong tiada duit, namun saya tetap cukup makan dan masih boleh hidup seperti biasa malah ada sedikit berisi bukan kurus =) Itulah rahsia dan ganjaran Allah berikan dalam bentuk yang berbeza.

Di tempat kerja lama pula, saya merupakan seorang jurutera kilang. Ketika adanya kematian ahli keluarga para pekerja, pihak pengurusan akan membuat kutipan sumbangan derma kepada keluarga si mati dari semua pekerja termasuk operator pengeluaran di setiap jabatan. Mungkin disebabkan kerani saya memberi sampul kutipan itu saya membuka dan kerani saya tidak berani marah =) Sewaktu melihat jumlah duit itu, saya faham kewangan gaji pekerja yang sedikit kerana jumlah sumbangan derma itu agak sedikit dan banyak duit RM1 sahaja. Tapi tidak mengapa asalkan ianya ikhlas. Saya tetap latih diri untuk dermakan RM10 kepada setiap sampul yang diberikan. Sampai adakalanya, bila terlalu kerap kematian ahli keluarga berlaku, saya terpaksa pinjam dahulu duit operator saya untuk didermakan dengan jumlah yang sama walaupun ahli keluarga si mati hanyalah sekadar operator pengeluaran semata-mata. Saya tidak pernah membeza-bezakan orang. Esoknya baru saya pulangkan semula duit yang saya pinjam itu. 

Sewaktu solat jumaat juga, saya sentiasa melatih diri saya untuk dermakan RM10 di masjid. Kadangkala bila saya sendiri tiada duit pun saya sanggup tidak makan dan kurangkan makan sekadar makan 'maggie' saja. Ianya sekadar untuk saya teruskan melatih diri untuk menyucikan hati, sekurang-kurang walaupun amalan ibadat saya tidaklah sempurna mana, namun saya sudah melakukan suatu amal kebajikan yang berterusan. Suatu balasan dan ganjaran yang Allah berikan pada saya bila mana saya diberikan sejumlah rezeki yang memang saya tidak pernah terfikir dan sangka sebelum ini. Ianya suatu perkara yang saya rasa memang mengejutkan kerana saya mendapat sejumlah wang yang amat besar bernilai RM150,000. 

Pada mulanya saya terkejut kerana saya memang tidak menyangka untuk layak, kerana tidak yakin dengan apa yang saya lakukan. Tapi itulah rezeki yang Allah berikan kerana rezeki-Nya Maha Kaya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani =) Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima. Dalam konteks derma dan sedekah bukanlah berkaitan wang ringgit semata-mata, banyak benda dan banyak perkara kita boleh sedekahkan kepada insan-insan yang memerlukan. Sedekah juga boleh dalam bentuk doa yang ikhlas, senyuman, dan juga ilmu yang bermanfaat untuk disampaikan =) Ajarlah dan asuhlah anak-anak generasi kita untuk bersifat pemurah dan penyayang. Kerana saya amat percaya didikan dari kecil itulah merupakan kunci utama kepada sahsiah peribadi generasi kita di masa akan datang. 


Apapun, ingin saya ingatkan sekali lagi disini bahawa tiada sebarang niat untuk riak atau menunjuk baik kepada sesiapa saja, saya tetap seorang insan yang penuh dengan kelemahan diri yang perlu diperbaiki. Ianya sekadar suatu perkongsian ilmu dan mana ianya benar-benar terjadi dalam diri saya dan semoga ianya menjadi tauladan buat kita semua untuk teruskan bersedekah dan menderma pada benda-benda yang menjurus ke arah kebaikan. Sekiranya anda orang biasa-biasa, sedekahlah pada kebaikan dan pertolongan, sekiranya anda seorang yang kaya raya jadilah seorang jutawan yang dermawan, maka aman damailah dunia dari segala kemiskinan dan kesusahan, kerana walaupun kecil sumbangan kita itu, tetapi ianya amat bermakna buat insan-insan yang memerlukan. Jangan hendak tunggu kaya baru anda hendak menderma dan bersedekah, mulakan ia dari sekarang. 

Maka memang betul seperti apa yang dinyatakan di dalam Qur'an =)  Dengan memberi balik, ianya akan datang semula kepada kita dalam pelbagai bentuk dan malah secara berlebihan. Oleh itu, mari kita bersama untuk bersedekah dan menderma segala ilmu, kudrat, suara, harta dan wang ringgit kita kepada yang memerlukan dan yakini bahawa kita akan dapat balik ganjaran tersebut tidak lama lagi dalam pelbagai bentuk yang berbeza-beza. Sesungguhnya harta tidak akan  pernah berkurangan sekiranya kita bersedekah dan berzakat =) Segala yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T dan segala yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri.. Assalam =)



~rizali masri~
Share on Google Plus

Tentang Rizali Masri

RizaliMasriDotCom asasnya adalah sebuah website peribadi yang berkongsi artikel berkenaan keusahawanan, motivasi, isu semasa, kesihatan, ilmu pengetahuan dan travelog. Kini, website ini turut menyediakan pelbagai tawaran kursus keusahawanan, video marketing, membina website / e-commerce. Hubungi saya di 011-1636 2729.

1 respons pembaca:

Hi everyone .. please leave your comment here