ads top

Hala Tuju Lepas Sekolah

Hurm, sudah hampir 10 tahun lamanya saya meninggalkan zaman sekolah menengah. Zaman ketika waktu nakal dan zaman panjat pagar serta meredah hutan belantara di asrama penuh hanya semata-mata untuk membeli maggi di malam hari sebab lapar. Kenangan belajar di SMS Muzaffar Syah Melaka mengajar pelbagai pengalaman hidup untuk menjadi seseorang yang berdikari dan berpijak di kaki sendiri. Namun, pengalaman berharga seumpama itu hanya datang sekali sahaja seumur hidup dalam kehidupan kita kerana ketika usia meningkat dewasa, pengalaman yang baru akan menjelma dalam mematangkan fikiran kita.




Sewaktu saya melihat ramai 'adik-adik' gembira sudah tamat belajar dan sudah melepasi peperiksaan SPM, iaitu zaman yang amat getir dalam menentukan masa depan mereka, ada ramai yang bersorak menandakan mereka sudah merdeka dari kena pergi ke sekolah di waktu pagi dan menjalani segala aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Namun, tidak ketinggalan juga ada mereka yang bersedih kerana segala usaha yang diberikan tidak mendatangkan hasil. Dan juga ada mereka yang seolah-olah tidak mempunyai sebarang perasaan samada sedih atau gembira. Mungkin ini kerana pada mereka SPM hanyalah sekadar peperiksaan paling terakhir untuk mereka duduki sebagai syarat untuk menghabiskan sekolah, dapat sijil dan seterusnya boleh digunakan untuk memohon kerja kilang dan sebagainya.

Yang pasti, apa yang tiba-tiba bermain di fikiran saya adalah kemanakah hala tuju mereka ini semua sedangkan sekarang adalah bukan masa yang sesuai untuk mendapat peluang pekerjaan dengan mudah, tambahan pula kegawatan ekonomi yang membelenggu dunia dan kenaikan harga barang yang drastik sekali. Apa yang dapat saya perhatikan adalah mereka ini seperti telah tersepit dan terdesak untuk mencari sumber rezeki yang pastinya wajib bagi mereka yang sedang menempuh alam remaja untuk keperluan mereka. Tetapi kemanakah arah tuju mereka semua ini, hanya berbekalkan keputusan SPM yang teruk, tanpa ada sebarang bekalan pengalaman yang mencukupi, tanpa sebarang ilmu di dada yang mampu membimbing mereka untuk pergi lebih jauh..?

Mungkin boleh saya katakan, "silap" mereka juga kenapa tidak belajar bersungguh-sungguh. Tapi pada saya kita semua dikurniakan akal fikiran dan kemampuan diri yang berbeza, mungkin kemampuan mereka ini terhad setakat itu sahaja dan dikurniakan kelebihan dalam bidang lain. Cuma apa yang saya kasihankan adalah mereka seolah-olah tidak tahu hakikat dunia sebenar yang realiti. Mungkin selama ini mereka diajar secara teori di sekolah, mungkin mereka tidak diajar berdikari untuk teruskan kehidupan dan hidup susah. Akibatnya, mereka ini lebih cenderung untuk melakukan perkara yang tidak memerlukan daya pemikiran yang tinggi, tidak perlu kerja keras, dan tidak perlu berusaha lebih hanya dengan melakukan perkara-perkara mudah dan singkat seperti memecah rumah, merompak, membuli, serta mengedar dadah dan sebagainya kerana hanya melakukan sekali sudah mendapat untung berlipat ganda.



Masyarakat adakalanya memandang serong mereka yang kurang berpelajaran dan tidak sekolah ini kerana telah diterapkan dengan pemikiran seumpama itu, namun tidak kesemuanya mereka seperti itu, ada juga golongan belia yang sedar mereka tidak mampu bersaing dari segi akademik tapi mereka cemerlang dan minat dalam bidang praktikal. Mudah kata perkara yang tidak memerlukan otak untuk terlalu banyak berfikir. Tetapi kekangan mereka adalah kurang dan hanya segelintir individu yang prihatin akan permasalahan mereka itu, atau mungkin mereka kurang pasti pada siapa harus mereka tuju kerana untuk membuka perniagaan seorang diri, sudah pastinya permohonan mereka ditolak mentah-mentah oleh bank. Akhirnya mereka buntu  dan nekad untuk melakukan segala perkara yang terlintas difikiran mereka tanpa berfikir panjang. Hakikatnya jika berlakunya kes pecah rumah, kes dadah, serta kes kecurian, masyarakat juga yang merasa tidak senang hati kerana sentiasa risau untuk meninggalkan rumah mereka kosong dan sebagainya.

"Belia adalah pemangkin negara", sebagai seorang belia mereka harus tetapkan matlamat hidup mereka. Tujuan sebenar mereka, apa sasaran mereka dalam kehidupan dan yang pastinya apa yang mereka inginkan dalam kehidupan yang singkat ini. Dalam konteks duniawi, sebagai remaja yang sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan keperluan terkini, mereka sebenarnya mampu untuk pergi lebih jauh dan merasakan bahawa "kita adalah generasi hebat". Kita mampu melakukannya sekiranya ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tidak kenal erti jemu dan putus asa serta sentiasa melakukan dengan terbaik dan seterusnya bertawakal kepada yang Esa.

Saya selalu menekankan kepada "adik-adik" yang berada di sekitar saya untuk terus pergi ke sekolah kerana zaman persekolahan adalah suatu perkara yang amat indah dan tidak ternilai harganya. Di sekolahlah tempat kita belajar pelbagai perkara, tempat kita untuk berkawan, tempat kita mencari seberapa banyak pengalaman, dan tempat kita untuk mengenal erti kehidupan zaman kanak-kanak dan usia remaja. Memang ramai "adik-adik" yang selalu kena 'sekolahkan' dengan saya bila mereka ponteng kelas dan berhenti sekolah, walaupun saya bukan seorang cikgu sekolah, tetapi itulah senario sebenar berlaku di sekolah. Mereka mensia-siakan zaman sekolah mereka begitu sahaja, di sekolahlah tempat mereka untuk menjadi pelbagai karakter awal samada menjadi nakal, jahat, degil, baik, alim & zalim =) Memang tidak sepatutnya unsur negatif dijadikan isu di sekolah, tetapi dunia realiti tidak pernah membezakan sesiapa, hakikatnya di dunia realiti itulah yang berlaku, kerana yang baik pastinya ditindas dan yang jahat tetap berleluasa, hanya pengalaman dan kematangan fikiran sahaja yang mampu membimbing mereka ini semua untuk menjadi insan berguna kelak.

Dalam menjadi seorang insan berguna, walau siapapun kita, walau bodoh mana pun kita, kita semua tetap sama. Jika kita berusaha keras dan melakukan dengan bersungguh-sungguh, sudah pasti kejayaan milik kita. Jangan mudah mengaku kalah dengan kaum lain sekiranya kita sendiri tidak pernah melakukan langkah pertama itu. Rezeki ada di mana-mana, 9/10 sumber rezeki adalah datangnya daripada perniagaan. Nabi Muhammad S.A.W juga dulu adalah seorang ahli perniagaan, sunat jika dilakukan oleh kita. Oleh itu, saya mengajak kawan-kawan, sahabat dan adik-adik semua, bagi mereka yang tiada tempat di sektor kerajaan, tidak berjawatan tinggi dan tidak mendapat tempat di mana-mana agensi pekerjaan swasta, jangan putus asa dan teruskan perjuangan anda semua. Setiap perkara yang baik itu pastinya tidak mudah diperolehi, setiap ubat itu mana ada yang sedap =)

Dalam konteks mencari peluang yang masih ada, teruja saya untuk berkongsikan sedikit sebanyak ilmu, pengalaman dan apa yang saya ada kepada anda semua. Jika kita berpelajaran tinggi dan mempunyai 'cable' yang tinggi maka tinggilah peluang untuk mendapat jawatan di sektor kerajaan, dan jika kita mempunyai pengalaman kerja dan pendidikan tinggi, banyak sektor swasta memerlukan anda. Tetapi sekiranya anda tidak ada langsung ciri-ciri tinggi seumpama itu, saya menggalakkan anda untuk bekerja sendiri. Ayatnya agak tidak relevan dan munasabah, tetapi rasanya itulah yang sebaiknya. Hal ini kerana bagi anda yang tidak ada semua ciri-ciri cemerlang di atas itu, saya yakin kelebihan anda terletak di tempat lain iaitu dengan bekerja sendiri.

Mengupas apa yang saya maksudkan dengan perkataan 'bekerja sendiri' itu adalah anda menceburkan diri anda dalam bidang keusahawanan. Ya, keusahawanan iaitu anda menjadi seorang usahawan. Ramai mereka salah tafsir dan memandang enteng pada golongan yang bergelar usahawan ini, mungkin kerana nama jawatan dan bidang pekerjaan itu tidak popular mana, tidak gah dan sering bergantung kepada risiko. Ya, betul. Saya tidak nafikan, tetapi saya sendiri juga seorang usahawan, saya juga tidak ketinggalan dalam akademik, tetapi saya tetap membuat pilihan untuk bergelar seorang usahawan. Kenapa? Untuk berjaya dalam hidup, kita jangan terlalu terkongkong dalam minda menjadi 'pengikut' (follower), andai semua sektor tidak perlukan anda, lebih baik anda buat sektor anda sendiri =) Namun, risikonya memang ada, pada saya dalam kehidupan ini, hari-hari kita semua sentiasa berhadapan dengan risiko termasuk mereka yang bekerja makan gaji. Tapi kelebihan seorang usahawan ini adalah gaji anda adalah hasil titik peluh anda sendiri, maksudnya usaha lebih ganjaran lebih. Dan gaji seorang usahawan juga tiada siapa tahu dengan tepat kecuali diri sendiri dan mereka yang terlibat sahaja =)



Mendekati bidang keusahawanan, saya mengesyorkan anda menanam minat dahulu. Kerana dengan minatlah momentum kejayaan anda itu akan menjadi lebih cepat. Lakukan bidang perniagaan yang anda minat kerana anda pasti akan rasa 'enjoy' ketika melakukannya. Bagi mereka yang sememangnya tidak ada ilmu dan pengalaman, anda boleh belajar dari mereka yang berjaya, pucuk pangkal hati anda kena ada minat untuk belajar bidang-bidang keusahawanan. Berkenaan perniagaan, ianya terbahagi kepada 2 perkara samada produk atau perniagaan, dan malah ada yang lakukan kedua-duanya sekali serentak. Oleh itu, mulakanlah dari sekarang dan jangan berputus asa kerana kejayaan hanyalah pada mereka yang berusaha untuk mendapatkannya. Tetapi sekiranya anda tetap juga buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, anda boleh merujuk kepada saya samada perniagaan produk atau perkhidmatan. Itupun sekiranya saya mampu bantulah =) 

Tetapi bagi mereka yang betul-betul berminat untuk menceburkan diri dalam perniagaan "ice blend", insyaAllah saya boleh tolong dan anda berpeluang bekerjasama dalam program mentor-mentee keusahawanan belia ais kisar (ice blend) kerana program ini dalam proses yang merangkumi pakej lengkap seperti kursus asas keusahawanan, kursus dan latihan praktikal produk, pembuatan kertas kerja (RP), pemasaran, penubuhan syarikat dan permohonan untuk mendapatkan modal awal dari agensi kerajaan terutama kepada golongan belia amat saya alu-alukan. Saya hanya membantu golongan belia yang benar-benar berminat dalam bidang ini sahaja. Saya juga sedang mengumpulkan data profil para belia yang ingin menjadi usahawan muda, sekiranya anda ingin dipanggil dalam program  keusahawanan ini secara percuma & ditaja, sila emelkan kepada saya nama penuh, kad pengenalan, alamat, emel dan sedikit penerangan tentang butiran diri anda kepada metafora.global@gmail.com, insyaAllah anda akan segera dilayan =) 

Tetapi bagi anda yang tidak berminat dalam bidang ini, anda boleh dan masih mampu untuk berjaya terutamanya dalam bidang keusahawanan lain kerana usahawan berjaya tidak semestinya anda perlu ada sekeping sijil SPM, segulung ijazah dan "resume" yang penuh dengan tangga gaji besar dan pengalaman berpuluh-puluh tahun lamanya, ianya cuma berbekalkan semangat dan keazaman yang kuat, tidak pernah putus asa dan sering belajar sesuatu ilmu yang baru, sentiasa mengekalkan momentum ingin berjaya dan yang pastinya berkat doa dari pemberi rezeki kita iaitu dari-Nya. InsyaAllah. Marilah kita mengejar kejayaan demi Agama, Bangsa dan Negara yang kita cintai ini. Wassalam ~



~ rizali masri ~
\(^_*)/

Share on Google Plus

Tentang Rizali Masri

RizaliMasriDotCom asasnya adalah sebuah website peribadi yang berkongsi artikel berkenaan keusahawanan, motivasi, isu semasa, kesihatan, ilmu pengetahuan dan travelog. Kini, website ini turut menyediakan pelbagai tawaran kursus keusahawanan, video marketing, membina website / e-commerce. Hubungi saya di 011-1636 2729.

0 respons pembaca:

Post a Comment

Hi everyone .. please leave your comment here