ads top

Eksplorasi Air Terjun Kota Tinggi

Selesai sudah program pengajian master saya di UTM Skudai secara rasmi. Alhamdulillah, saya ada banyak masa sekarang untuk fokus kepada perniagaan syarikat saya semula dan yang pasti saya sudah kembali aktif untuk berblog =) Apa yang ingin saya kongsikan untuk kali ini adalah tentang percutian saya di Kota Tinggi Waterfall Resort. Lokasinya terletak di Kota Tinggi Johor dan merupakan salah satu tarikan utama di sini yang mana ianya menjadi lokasi percutian tumpuan para pelancong luar negara dan warga tempatan. 



Saya berkesempatan untuk bercuti di Air Terjun Kota Tinggi, perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 20 minit dari simpang utama untuk menuju masuk ke dalam kawasan hutan dan jalan yang berliku-liku jauh ke dalam sehingga anda akan ternampak gerbang utama untuk masuk ke kawasan Resort Air Terjun tersebut. Bayaran masuk untuk orang dewasa tidak silap saya RM7 seorang dan bayaran untuk kereta dalam RM4. Agak mahal sebenarnya kalau dibandingkan dengan percutian saya yang lepas di Gunung Ledang di mana bayaran masuk cuma RM2 sahaja.


Dengan cuaca yang panas terik, amat sesuai untuk anda bersantai bersama rakan atau keluarga kerana air terjun di sana sememangnya amat sejuk sehingga mampu membuat anda menggigil walaupun di tengah terik matahari. Saya sendiri pun 4 kali turun mandi, menggigil naik semula, kemudian turun lagi, kemudian lapar, beli burger kemudian turun lagi sekali sampai puas. Rasa macam nak berendam je lama-lama sampai malam dalam air yang sejuk tu =) Adakalanya amat seronok dan mampu menghilangkan tekanan kerja anda apabila mandi di Air Terjun di sini, penat badan anda akan hilang dan seakan-akan dijana semula selepas mandi.


Suatu tarikan dan pengalaman yang pada saya harus anda alami sendiri kerana kepuasan mandi di Air Terjun Kota Tinggi ini amat berharga. Lapisan air terjun dibahagikan kepada beberapa tangga yang ditakung untuk keselesaan anda mandi manda. Satu lagi kelebihan di sana juga adalah anda boleh duduk dibawah titisan air terjun tersebut kerana keadaannya yang cetek tidak sama seperti yang berada di puncak atasnya. Bagi kaum lelaki pula, mereka lebih suka untuk mendaki bukit menerusi tangga simen yang disediakan untuk mandi di air terjun bahagian atas. Cuma persekitaran air terjun di bahagian atas adalah amat dalam dan terlalu sejuk. Selain itu juga, ianya amat bahaya kepada anda yang tidak pandai berenang dan terlalu cuai kerana kerap berlaku kematian mati lemas di bahagian atas tersebut. Jangan mandi ketika hujan lebat kerana ianya mengundang malapetaka yang tak disangka.

Selain itu, ramai photographer mengambil gambar kesukaan mereka mengikut citarasa masing-masing, ada yang mengambil gambar binatang atas pokok seperti monyet dan burung, ada yang mengambil gambar permandangan dan tidak ketinggalan juga mereka yang menangkap gambar wanita-wanita seksi yang sedang asyik mandi manda di sana =) Sekiranya anda kaum perempuan, saya nasihatkan untuk pastikan anda tidak memakai baju berwarna putih ketika mandi kerana ditakuti gambar anda mungkin ditangkap secara curi-curi oleh mereka yang meminati bidang fotografi. Tambahan pula, sekiranya anda membawa kamera DSLR, akan juga dikenakan bayaran di kaunter masuk utama =) Oleh itu, pastikan anda menangkap gambar sepuas hati anda kerana anda bayar, tetapi bab menangkap gambar awam secara terbuka haruslah meminta izin tuan punya badan terlebih dahulu yer =)


Sekiranya anda bertandang ke negeri Johor, jangan lupa untuk luangkan masa anda bercuti ke Kota Tinggi Waterfall & Resort. Sekiranya anda bercuti bersama keluarga tersayang, jangan dilepaskan untuk menginap di resort yang disediakan kerana pengalaman berada di tengah hutan pada waktu malam adalah satu pengalaman yang sangat menarik. Semoga dengan perkongsian pengalaman saya ini sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada anda untuk merancang percutian perkelahan, aktiviti mendaki gunung serta aktiviti santai dan perkhemahan kerana semuanya disediakan di sana.


Oleh itu, anda dinasihatkan untuk sediakan bekalan duit yang mencukupi untuk bayaran masuk RM7 untuk dewasa, kereta RM4 serta sediakan bekalan makanan yang disembunyikan di dalam beg kerana makanan luar adalah tidak dibenarkan sama sekali untuk dibawa masuk ke kawasan Air Terjun. Harga sebiji burger biasa tanpa mayonis dan sos tomato yang sedikit sahaja sudah berharga RM3.50. Semoga anda merancang percutian ke Air Terjun Kota Tinggi dengan selamat dan memberi seribu satu ketenangan di jiwa. Bagi sesiapa yang ingin meluangkan masa untuk bercuti di sekitar kawasan peranginan dan pakej jalan-jalan di sekitar kawasan Johor tetapi tidak tahu dan mengalami kesulitan, anda boleh juga menghubungi saya atau emelkan terus ke metafora.global@gmail.com kerana saya boleh membantu anda untuk merancang percutian dan menetapkan pakej-pakej percutian yang menarik di sekitar Johor Bahru sekiranya anda ingin berkhemah, mendaki gunung, percutian di tepi laut, ingin membuat tempahan penginapan resort dan pengangkutan serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya. Akhir kata, "jom kita mengembara, nikmati eksplorasi alam semulajadi" =)





~rizali masri~
\(^_*)/
Share on Google Plus

Tentang Rizali Masri

RizaliMasriDotCom asasnya adalah sebuah website peribadi yang berkongsi artikel berkenaan keusahawanan, motivasi, isu semasa, kesihatan, ilmu pengetahuan dan travelog. Kini, website ini turut menyediakan pelbagai tawaran kursus keusahawanan, video marketing, membina website / e-commerce. Hubungi saya di 011-1636 2729.

0 respons pembaca:

Post a Comment

Hi everyone .. please leave your comment here