ads top

Perkhemahan Di Teluk Resang

Dalam entry kali ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang ceritera aktiviti perkhemahan kami di tepi pantai Teluk Resang, Mersing. Aktiviti yang sememangnya sangat menarik dan memberi seribu pengalaman sebagai kenang-kenangan yang tidak dapat dilupakan. Teluk Resang terletak di antara Mersing dan Rompin, Pahang. Perjalanan kami sebanyak 5 buah kereta yang bergerak secara konvoi dari Johor Bahru memakan masa hampir 2 jam setengah untuk sampai ke destinasi perkhemahan kami di Teluk Resang, Mersing selama 3 hari 2 malam.



Perjalanan kami bermula seawal pukul 9 pagi dan mengambil kawan-kawan yang turut serta di rumah masing-masing. Setelah berkumpul di stesyen minyak bersebelahan Jusco Tebrau sekitar pukul 11 pagi, kami memulakan perjalanan ke Mersing. Aktiviti kali ini adalah lebih kepada santai dimana ramai kawan ada yang membawa suami, isteri, anak-anak dan yang paling penting adalah ramai anak dara, dan tidak ketinggalan saya juga yang masih dalam kategori lelaki bujang ini yer =) saya hanya membawa diri sendiri ditemani kereta yang setia berada di sisi. Sesampainya kami di lokasi perkhemahan, cuaca agak redup dan nyaman dengan angin laut yang sepoi-sepoi bahasa bertiup. Seperti biasa, para lelaki telah biasa dan faham akan tugasan masing-masing di mana ada yang memasang khemah, ada yang mengangkat barang dan ada juga yang mencari kayu untuk di buat unggun api pada malam hari. Para wanita lebih kepada kerja memasak, menyediakan makanan dan mengemas peralatan. Satu kerjasama yang sememangnya patut saya puji kerana segala urusan berjalan dengan amat lancar sekali.


Khemah didirikan berbentuk bulatan, ini bagi tujuan keselamatan dan mengelakkan gangguan orang luar dan tidak dikenali. Selain itu juga, dengan adanya bentuk begini, khemah dapat diperhatikan oleh setiap peserta dari khemah makan dan pantai.


Apa yang menariknya pada aktiviti kali ini adalah pasti ada kekecohan yang acap kali berlaku antara budak-budak kecil hingga ada yang menangis teresak-esak dan bergaduh berebut  mainan. Ianya sesuatu intipati menarik bagi setiap aktiviti santai seperti ini =) Pada waktu petang pula, aktiviti bebas diadakan mengikut keselesaan masing-masing. Ada yang bermain bola sepak pantai, membina istana pasir dan tidak ketinggalan juga ada yang mandi laut. Bagi memeriahkan aktiviti malam daripada tidak terbuang begitu saja, aktiviti suaikenal dimulakan bagi menyelesakan dan merapatkan ikatan silaturrahim antara setiap peserta kerana memang ada antara kami yang tidak saling kenal dengan yang lain termasuk saya.


Aktiviti petang iaitu bermain bola sepak pantai yang di wakili oleh kaum wanita kerana itu adalah satu pengalaman yang jarang kali dapat mereka alami di tempat lain. Di sinilah mereka dapat merasakan pengalaman seumpama itu, dengan cuaca yang redup dan pantai yang luas memudahkan mereka untuk bermain sehingga penat sebelum mandi di tandas dan solat maghrib seterusnya menunggu makan malam dan aktiviti lain.


Saya juga tidak ketinggalan untuk membawa gitar akustik kegemaran saya setiap kali mengadakan aktiviti perkhemahan seperti ini, kerana ilham mencipta lagu ketika di malam hari di tepi pantai pasti sentiasa datang kerana  banyak idea dan sumber inspirasi sentiasa hadir pada ketika kita tenang dan dapat melihat ciptaan alam yang terbentang luas seperti ini =) Walaupun saya tidak gemar memainkan gitar dan memainkan lagu kepada semua, namun gitar itu adalah bebas kepada sesiapa yang ingin belajar untuk bermain gitar sambil ketawa melepaskan segala tekanan kerja dan masalah lain. Adakalanya juga saya mengajar mereka bermain gitar sambil menyanyikan lagu atas permintaan mereka, tetapi khas pada waktu itu saja yer =)


Pada waktu pagi pula, saya menyewa 2 biji kayak sebagai aktiviti tambahan di laut, oleh disebabkan para kaum hawa ini ramai yang tidak pernah berkayak sebenarnya, manakala saya pula sememangnya mempunyai sijil jurulatih antarabangsa semasa menghadiri kursus Wilderness Adventure Camp di Langkawi suatu ketika dulu di mana kami diajar untuk tidak mandi selama seminggu, hanya membawa 3 helai baju dan diberikan sebotol air sahaja setiap seorang lelaki dan perempuan, tidur di dalam hutan belantara di Pulau Tuba tanpa khemah sempurna dan terbuka, belajar untuk mencari "camp site check point" hanya berbekalkan peta dan kompas, berkayak seharian di tengah laut dan di ajar segalanya berkaitan aktiviti kayak laut termasuk operasi menyelamat, menaiki kapal kargo ditengah laut sehinggakan dapat melihat sendiri ikan dolfin melompat-lompat di depan kami sewaktu menunggu bot laju sampai di jeti serta mempelajari pelbagai teknik untuk terus hidup di dalam hutan belantara serta banyak lagi ilmu yang bermanfaat kepada kami semua. 


Oleh itu, bagi memenuhkan permintaan mereka, kami membawa mereka untuk berkayak di tengah laut dan seterusnya membuat perkara yang sama kepada mereka yang ingin merasa aktiviti berkayak di laut. Ia sememangnya suatu pengalaman yang menarik lagi seronok =) Aktiviti di pantai juga amat menarik kerana setelah kami semua sudah mesra dan tidak segan, banyak aktiviti riadah dapat dilakukan bersama. Gelak tawa kami memecahkan suasana di Teluk Resang dengan pelbagai gelagat mereka yang berbagai kerenah.


Setelah puas mandi manda di laut, masing-masing kelaparan dan tiba masa untuk makan, dan semuanya telah tersedia, oleh itu perjalanan aktiviti perkhemahan ini sememangnya amat menarik sambil saya boleh berkenalan dengan ramai kawan baru samada lelaki atau perempuan dan juga berkongsi pengalaman tentang hidup masing-masing. Suasana laut di waktu malam amat indah dengan bintang-bintang yang berkerlipan dan alunan angin yang bertiup membuat anda merasa sangat tenang dan nyaman sekali.


Setelah 3 hari kami berkhemah di sana, tibalah masa untuk berkemas pulang, ianya suatu pengalaman yang amat berharga dan menyingkap sejuta kenangan kepada kami semua dan pastinya akan kami cuba untuk lakukan aktiviti seumpama ini di masa akan datang lagi. Kepada anda di luar sana yang sememangnya tiada pengalaman seumpama ini, pastikan anda merasakannya bersama kawan-kawan ada ataupun kawan baru yang mungkin anda boleh kenal lebih rapat. Tapi andai ingin turut serta bersama saya dalam aktiviti seterusnya adalah amat-amat dipersilakan, sambil kita boleh berkenalan dengan ramai kawan-kawan baru, kita juga dapat mempelajari pelbagai pengalaman baru. Setakat ini saja yang dapat saya kongsikan untuk bacaan dan tatapan kawan-kawan semua, dan akhir kata dari saya, "Bersama Kita Menikmati Keindahan Alam Inspirasi Semulajadi". =)




~rizali masri~
\(^_*)/
Share on Google Plus

Tentang Rizali Masri

RizaliMasriDotCom asasnya adalah sebuah website peribadi yang berkongsi artikel berkenaan keusahawanan, motivasi, isu semasa, kesihatan, ilmu pengetahuan dan travelog. Kini, website ini turut menyediakan pelbagai tawaran kursus keusahawanan, video marketing, membina website / e-commerce. Hubungi saya di 011-1636 2729.

2 respons pembaca:

  1. cantik juga pantai di sini ya. Teringin plak nak gi berkelah hujung minggu ni.

    ReplyDelete
  2. mmg cantik, sb tmpt ni teluk..tryla pg ng kwn2. sure best..!!

    ReplyDelete

Hi everyone .. please leave your comment here