ads top

Gerhana Bulan & Solat Sunat Kusuf


Pada malam ini, 10 Disember 2011 ini, kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh sekali lagi. Kali terakhir rakyat Malaysia dan di rantau Asia Tenggara menyaksikan fenomena gerhana seperti ini ialah pada bulan Jun 2011 lepas. Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas, yang mana ia berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai.


Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.30 malam

Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam. 

Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.

Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8):
Moon enters penumbra:       2011 Dec 10  19:31:37
Moon enters umbra:             2011 Dec 10  20:45:11
Start of totality:                      2011 Dec 10  22:05:29
Maximum eclipse:                2011 Dec 10  22:31:36
End of totality:                       2011 Dec 10  22:57:45
Moon leaves umbra:            2011 Dec 11  00:18:04
Moon leaves penumbra:      2011 Dec 11  01:31:30

Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat. 

Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia). Ia adalah sama sahaja jika anda berada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Video di bawah merupakan simulasi gerhana bulan yang dibuat menggunakan perisian Stellarium.


Gambarajah 1 di bawah ialah laluan bulan ketika ia bergerak di dalam bayang-bayang umbra dan penumbra bumi. (credit to  F. Espenak, NASA’s GSFC eclipse.gsfc.nasa.gov/eclipse.html)

Secara umumnya, bayang-bayang Bumi terbahagi kepada bahagian:

i.  Penumbra – kawasan bayang-bayang bahagian luar, yang mana ia tidak begitu gelap dan agak sukar dilihat perbezaan warnanya apabila diamati dengan mata kasar.

ii. Umbra – kawasan bayang-bayang bahagian dalam, yang mana di sinilah kawasan yang paling gelap dan terlindung terus daripada pancaran cahaya matahari. Warnanya kemerahan kerana cahaya matahari terbias apabila ia melintasi kawasan atmosfera bumi, lalu menghasilkan cahaya kemerahan.

      
Gambarajah 1

Gambarajah 2, di bawah  ialah peta dunia yang menunjukkan kawasan mana yang boleh lihat fenomena gerhana kali ini. 

Perhatikan keseluruhan Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) berpeluang melihat keseluruhan fasa gerhana dari awal hingga akhir

Gambarajah 2

Jika anda terlepas gerhana kali ini, anda terpaksa menunggu sehingga 10 Okt 2014 untuk Gerhana Penuh Bulan yang boleh dilihat dari Malaysia. Itupun anda hanya dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sudahpun TAMAT fasa gerhana sepenuhnya ketika ia terbit di waktu Maghrib (di Kuala Lumpur). Gerhana Penuh seterusnya ialah 4 Apr 2015 dan itupun anda dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sedang memasuki fasa gerhana penuh ketika ia terbit.

Panduan Solat Sunat Khusuf

Tazkirah Solat Sunat Khusuf -> Klik SINI.

Apabila terjadi gerhana matahari, umat Islam disunatkan mengerjakan solat sunat gerhana matahari atau solat kusuf sebanyak dua rakaat, dan sunat pula dikerjakan secara berjemaah. Waktu mengerjakan solat kusuf adalah sejak matahari mula gerhana sehingga terang semula sepenuhnya. Sekiranya matahari terbenam dalam keadaan masih gerhana, masa solat kusuf habis dengan terbenamnya itu

Lafaz Niat :

Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat menjadi makmum kerana Allah

Cara Solat Kusuf :

1. Setiap rakaat dua qiyam (berdiri), dua kali Fatihah, dua rukuk dan dua sujud. Jadi setelah membaca Fatihah dan surah pada rakaat pertama terus rukuk, bangun dari rukuk, berdiri, terus membaca Fatihah yang kedua dan juga surah. Seterusnya rukuk, bangun dari rukuk dan terus sujud dua kali seperti biasa. Setelah itu berdiri untuk rakaat kedua, baca Fatihah dan surah, rukuk, bagun dari rukuk, Fatihah dan surah, rukuk, bangun dari rukuk dan terus sujud seperti biasa. Dengan itu solat kusuf itu terdiri dari 4 kali Fatihah, 4 rukuk, 4 berdiri, 4 sujud dan satu salam.

2. Makmum yang hanya dapat mengikut imam dalam berdiri kedua atau rukuk kedua dalam rakaat pertama dianggap tidak dapat rakaat pertama.

Mari kita azam bersama-sama untuk mengerjakan solat kusuf yang hanya berlaku sesekali sahaja dalam seumur hidup kita sebagai tanda kita hamba yang kerdil mengagungkan kebesaran Allah swt. Insyallah 2 jam yang kita tinggalkan kerja dan dunia untuk sementara akan dibalas Allah dengan pahala dan imbuhan diluar jangkaan pemikiran kita.

 

~ Wassalam ~

 

 

Share on Google Plus

Tentang Rizali Masri

RizaliMasriDotCom asasnya adalah sebuah website peribadi yang berkongsi artikel berkenaan keusahawanan, motivasi, isu semasa, kesihatan, ilmu pengetahuan dan travelog. Kini, website ini turut menyediakan pelbagai tawaran kursus keusahawanan, video marketing, membina website / e-commerce. Hubungi saya di 011-1636 2729.

0 respons pembaca:

Post a Comment

Hi everyone .. please leave your comment here