Trip Eksplorasi Mancing Pulau



Salam sejahtera kepada semua pembaca yang dikasihi sekalian, entri kali ini saya ingin berkongsi tentang trip ekspedisi memancing di pulau. Kalau sebelum ini saya kongsikan tentang ekspedisi memancing di kelong atau rumah rakit Tanjung Buai dan Kelong Bintan di Tanjung Belungkor serta trip memancing bawah Jambatan Second Link Tuas-Singapore. Kali ini kami beralih ke lokasi lebih mencabar iaitu mancing di pulau pula. Apa yang menariknya, ini adalah kali pertama team kami 'upgrade skill' memancing dengan menguji cara mancing di batu. Maklumlah bukan semuanya ahli kumpulan kami pakar memancing =) Pulau-pulau di sekitar pengerang ini adalah terletak di Teluk Ramunia iaitu berdekatan Sungai Rengit Johor. Hampir 5 ke 6 buah pulau berdekatan yang tiada penghuni dan tiada nama mengikut saiz yang berbeza. Ada yang mempunyai batu dan sedikit hutan, manakala ada juga yang hanya batu sahaja. Boleh kata, kalau matahari terik tegak atas kepala anda boleh rentung la jawabnya..


Kami bergerak seawal selepas subuh untuk ke destinasi di Teluk Ramunia untuk menaiki bot di jeti. Bagi mereka yang sudah biasa memancing, rasanya segala keperluan memancing sudah pun disediakan lebih awal. Ekspedisi kali ini kami bergerak pada waktu pagi memandangkan ianya kali pertama kami memancing di pulau laut lepas antara Singapura dan Indonesia. Tetapi pulau-pulau kecil ini masih di dalam kawasan perairan Johor. Ianya jauh beza berbanding dengan pancing di kelong, kerana kelong lebih selesa ibarat sebuah rumah di atas laut yang mana keselamatan lebih terjamin. Perjalanan menaiki bot hampir lebih kurang 20 minit ke 30 minit untuk sampai ke pulau. Bezanya, bot kali ini agak besar kerana ombak laut lepas lebih deras dan kuat berbanding menaiki bot di kelong.

Seawal pukul 7.40 pagi, suasana di pulau amat cantik sewaktu matahari pagi mula menunjukkan sinarnya. Saya tak ketinggalan menangkap gambar menggunakan kamera DSLR saya untuk potretkan suasana pagi di pulau yang pastinya ia sungguh indah..! Trip pertama ini kami bergerak seramai 5 orang sahaja, dan pilihan pulau adalah pulau yang keluasannya boleh saya anggarkan sebesar 6-8 kali saiz padang bola. Memang semput kalau anda tawaf satu pulau. Apa menariknya pulau ini adalah lokasinya yang agak tengah, mempunyai rumah api dan hutan serta jeti yang mana memudahkan kami memunggah barang mancing ke atas pulau. Oleh itu pastikan segala joran, umpan dan keperluan lain diikat agar tidak terjatuh di dalam laut..!

 
 

Selang seminggu lepas kami memancing, ada sambutan dari rakan lain untuk turut serta trip kedua ini yang mana kami bergerak seramai 10 orang. Memandangkan pulau ini sangat luas, maka tiada sebarang masalah ruang mancing. Anda boleh duduk seorang diri tekun memancing di celah batu, asalkan keselamatan di jaga kerana batu-batu disini licin bila terkena air dan berlumut. Kena awas setiap langkah sebab saya sendiri dah pernah jatuh sampai lebam kaki dan luka di dagu akibat 'over excited' dapat 6 ekor siakap tak sampai 30 minit..! Awas, keselamatan adalah suatu keutamaan disini jika anda memancing seorang diri jauh dari rakan mancing yang lain di pulau ini.


Jika rezeki anda baik, ikan siakap suka bermain di celah-celah batu, gunakan umpan udang dan batu ladung saiz 1 untuk memancing disini kerana potensi mata kail tersangkut sangat sangat tinggi. Tetapi jika umpan anda dimakan ikan dan kemudian tersangkut, anda kena bertahan sekejap kerana tali itu bukan tersangkut cuma ikan bersembunyi di celah batu. Kesabaran amat diperlukan disitu. Oleh itu, beli banyak banyak batu ladung saiz 1 atau 2 ya. Kalau tidak, tali akan kena potong jela sebab tersangkut. Ikan-ikan dominan di sini adalah jenis kerapu keling, kerapu merah dan ikan kitang kerana persekitaran pulau adalah batu karang, kalau di sebelah belakang pulau ikan besar banyak main kerana ada kapal karam. Kalau anda pandai memancing, untuk dapatkan lebih 50 ekor seorang dalam masa 2 jam adalah sangat tinggi. Apapun ikut rezeki masing-masing, trip memancing kami yang lepas telah dapat daratkan lebih dari 100 ekor ikan termasuk kerapu keling, ketarap, senangin, kerapu merah dan sembilang karang.

 
 

Bagi yang memancing siang hari, terik matahari adalah satu masalah utama, oleh itu sediakan baju lengan panjang, topi dan beberapa keperluan untuk berteduh sekiranya hujan. Di pulau ini boleh dikatakan keperluan bahan terbuang agak banyak terutama kayu, botol plastik, pelampung, polisterin dan daun kering. Angin agak kuat jika anda menghadap laut luas disaksikan kapal-kapal kargo bersusun di pemandangan anda, manakala di sudut sebaliknya angin kurang kerana terlindung pulau. Oleh itu, anda kena bijak mencari ruang selamat dan selesa untuk memancing.

Disini saya syorkan antara keperluan yang boleh disediakan jika ingin bermancing di pulau ini.

- Joran antara 2-3 batang, kerana potensi joran sangkut sangat tinggi di celah batu
- Gunakan umpan udang putih dan sotong, tapi kerapu lebih rancak makan umpan udang
- Gunakan umpan ikan selayang & udang hidup jika inginkan hasil ikan yang lebih besar
- Bawa batu ladung saiz 1 atau 2 lebih banyak, gunakan ladung besar jika air semakin deras
- Sediakan keperluan mancing sendiri. Saiz pulau ini sebesar 6-8 saiz padang untuk jalan kaki
- Sediakan topi, sweater, sarung tangan, baju hujan dan beg sendiri bagi cuaca hujan & terik
- Bawa kasut getah tinggi kerana batu yang berlumut agak licin
- Bawa khemah atau plastik jika ribut atau hujan di pulau untuk berteduh dan simpan barang
- Telefon bimbit boleh bawa kerana semua signal telefon dapat di pulau pulau ini
- Kalau dapat ikan besar, biarkan hidup kerana anda boleh jual untuk dapat duit tunai
- Bawa baju lebih simpan dalam kereta, balik dari pulau boleh mandi di tandas tepi pantai  
- Bawa sunglass sebab matahari panas boleh buat mata jadi letih


  
 

Perancangan bulan depan, kami akan anjurkan lagi trip memancing di pulau pulau ini untuk kali ketiga, cuma bezanya di pulau berbeza, dan waktu yang berbeza iaitu pada waktu malam. Pada waktu malam, ikan lebih kasar dan besar akan bermain di pulau, macamanalah rasanya cabaran berada di pulau yang sunyi sepi pada waktu malam ya. Persediakan untuk bermalam di atas pulau yang gelap, dan tiada penghuni ini adalah suatu perkara yang sangat mencabar dan bahaya..! Tapi waktu malam ikan besar lebih dominan di pulau-pulau ini. Bagi yang tiada pengalaman, saya syorkan anda datang waktu siang. Oleh itu, jika anda ingin merasa kepuasan ini bersama rakan-rakan pancing atau kumpulan anda sendiri boleh hubungi saya untuk maklumat lanjut agar kepuasan memancing anda di pulau ini lebih menarik. 

Harga penghantaran bot untuk ke pulau adalah berbeza pada waktu siang dan malam. Yang mana harga siang untuk ke pulau-pulau ini pada waktu siang adalah sekitar RM70 seorang pergi balik dan malam antara RM80-RM90 bergantung pada jarak pulau. Harga ini adalah pakej termasuk umpan sotong dan selayang, untuk udang hidup harga lain. Selain itu, jika anda ingin menyewa bot untuk memancing di sekitar pulau-pulau ini juga turut disediakan sekitar RM800-RM1400 sehari, ala-ala "island-hopping" untuk mencuba keseronokan menjinakkan ikan-ikan besar disini. Bagi anda yang berada jauh dari lokasi ini dan mereka yang berada di luar negeri Johor, jangan risau kerana anda hanya perlu sampai ke Bandar Penawar melalui highway Senai-Desaru, jika tidak tahu jalan untuk ke destinasi pulau, saya boleh bagi arah jalan ke lokasi jeti. Jika ingin memesan udang hidup sebagai umpan, ia turut disediakan disini namun tempahan awal 3-5 hari harus dibuat bagi mengelakkan kehabisan stok umpan hidup. Sebarang pertanyaan jika anda berminat boleh emelkan ke metafora.global@gmail.com atau sms ke 014-9875984 Bro Ali atau saya sendiri 012-7140210 untuk maklumat lanjut ya.

 

Sekian dahulu entri untuk kali ini tentang trip memancing di pulau. Ianya suatu pengalaman dan ilmu yang berharga bagi seorang penggemar pancing, sukakan cabaran baru dan aktiviti lasak, sukakan keindahan alam, menangkap foto serta seorang blogger kecil seperti saya. Pulau-pulau disini tidak semuanya ada nama, kerana ia pulau tidak berpenghuni. Jangan lepaskan peluang anda, kerana saya telah menikmatinya dan kini saya kongsikan agar anda turut berkongsi pengalaman di sini. Anggaran kewangan purata kos seorang untuk menikmati pengalaman memancing di pulau ini sekitar RM100. Sebarang pertanyaan jika ingin menempah dan merasai trip mancing pulau-pulau disini sila hubungi 014-9875984 Bro Ali atau hubungi saya sendiri 012-7140210 (saya cuma tolong promote bisnes brader ni). Akhir kata dari saya, selamat bercuti, selamat menenangkan fikiran dan minda anda dari kesibukan kota dan selamat menikmati pengalaman 'adventure' baru =) Ikan besar!! Ikan Besar!! Ikan Besar!!



~ Wassalam ~



Rizali Masri
\(^_*)/




Cetak

No comments:

Post a Comment

Hi everyone .. please leave your comment here ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...