PANIK dan tidak tahu apa yang perlu
dilakukan. Begitulah reaksi jika ada antara ahli keluarga anda tiba-tiba
diserang angin ahmar atau strok. Insan yang tersayang kini tidak mampu
bergerak mahupun menguruskan diri. Oleh
itu, sokongan dan bantuan emosi daripada keluarga, kawan-kawan dan
petugas kesihatan amatlah mustahak kerana ia boleh membantu proses
pemulihan pesakit strok . Selain itu, kemahiran yang betul dapat membantu pesakit strok pulih dan berasa lebih selesa. Namun, tidak semua orang menyedari dan mengetahui caranya kerana ramai menganggap pesakit strok tidak dapat dipulihkan.
Menurut Pegawai Perubatan Hospital
Penjagaan Jangka Masa Panjang Columbia Asia, Dr. Zaireen Ahmad Zamri,
strok dapat dipulihkan mengikut tahap keseriusan penyakit itu. "Jika
anda menghidap strok, tidak bermakna berakhirnya hidup seseorang itu.
Strok boleh disembuhkan walaupun separuh daripada otak mengalami
kerosakan," katanya. Memanglah, katanya, serangan strok boleh mengubah kehidupan seseorang untuk sepanjang hayat. "Jika
sebelum ini mereka boleh berdikari tetapi apabila diserang strok ,
mereka mungkin mengalami kelumpuhan yang menyebabkan terpaksa bergantung
kepada mereka yang sihat," ujarnya. Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak memandang ringan terhadap penyakit ini.
Apa itu strok? Dr. Zaireen memberitahu, strok dikenali sebagai 'serangan otak' kerana ia berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu. " Ia berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran sehinggalah seseorang itu mengalami lumpuh sebelah badan sama ada di sebelah kanan atau kiri. Namun, bukan semua jenis strok menyebabkan lumpuh kerana gangguan saraf berlaku jauh daripada bahagian otak yang mengawal pergerakan," katanya. Tambah beliau lagi, terdapat dua jenis serangan strok iaitu, strok iskemia (salur darah tersumbat) dan strok berdarah (salur darah pecah). Menerangkan mengenai strok iskemia, ia berlaku apabila darah beku menyekat arteri daripada membekalkan darah ke otak. Biasanya strok iskemia adalah akibat daripada pengumpulan kolestrol dan puing lain di dalam arteri semenjak bertahun-tahun lamanya. Strok jenis tersebut mungkin disebabkan oleh trombosis serebrum, iaitu apabila darah beku (tombus) terbentuk di dalam arteri utama yang menuju ke otak lalu menghalang bekalan darah.
Embolisme serebrum pula berlaku apabila darah beku terbentuk di dalam salur darah di tempat lain dalam badan, contohnya di leher atau jantung dan bergerak dalam aliran darah ke otak. Sementara itu, strok berdarah terjadi apabila salur darah di dalam otak atau di sekelilingnya pecah dan menyebabkan pendarahan. Penyakit tekanan darah tinggi yang lama dan tidak dirawat memberi memberikan tekanan pada dinding arteri, menyebabkan meningkatnya risiko arteri itu pecah dan seterusnya berdarah. Strok berdarah kemungkinan disebabkan oleh pendarahan intraserebrum, iaitu apabila salur darah pecah di dalam otak. "Dalam hal ini, kebanyakan strok iskemia boleh dicegah dan dirawat secara berkesan untuk mengurangkan kerosakan kepada otak.
"Masalah yang timbul dalam hal
pencegahan adalah pesakit sering terkeliru tanda-tanda awal strok dengan
penyakit lain seperti jantung," katanya. Sebagai
contoh, orang yang merasa sakit dada akan segera mendapatkan rawatan
perubatan kerana mereka bimbang mereka mungkin mengalami serangan
jantung. Namun, ramai yang menghidap gejala strok, seperti kelemahan di
sebelah bahagian badan atau pertuturan yang kurang jelas, cuma mengambil
sikap 'tunggu dan lihat' dan tidak mendapatkan rawatan perubatan dengan
serta-merta. "Lebih
teruk lagi, ada kalangan ahli keluarga yang beranggapan ia bukan
serangan strok tetapi terjadi akibat perbuatan aniaya atau sihir,"
jelasnya.
Tanda-tanda strok Justeru Dr. Zaireen mengingatkan orang ramai perlu mengetahui tanda amaran awal strok tanpa mengira usia kerana strok boleh menyerang golongan muda. Antara tanda awal kelemahan atau kebas secara tiba-tiba pada sebelah bahagian badan. "Paling ketara kita dapat melihat kesukaran pesakit bercakap atau memahami pertuturan, atau pertuturan tidak jelas," katanya. Apabila tindakan lambat diambil, ramai orang kehilangan banyak masa mendapatkan rawatan kecemasan yang boleh membawa perbezaan ketara dari segi pemulihan strok.
Bagaimana
strok didiagnosis dan dirawat?Dr. Zaireen menjelaskan, doktor akan
melakukan diagnosis klinikal dengan cara mendapatkan sejarah perubatan
pesakit diikuti dengan pemeriksaan fizikal. Selepas
itu doktor akan melakukan ujian bersesuaian yang diperlukan untuk
merawat pesakit dengan berkesan. Pengimejan menggunakan imbasan tomogafi
berkomputer (CT) dan imbasan gema bermagnet (MRI) membantu doktor
merawat pesakit. "Setiap
pesakit mungkin mengalami kesan strok yang berbeza. Ini disebabkan
hilang upaya akibat strok bergantung pada berapa teruknya otak rosak dan
di bahagian mana di otak strok berlaku," jelasnya.
Menurut Dr. Zaireen, orang ramai
perlu mengawal faktor utama yang boleh menyumbang kepada strok iaitu
diabetes, darah tinggi, paras kolesterol dan tabiat merokok. Selain rawatan ubat-ubatan, pesakit juga boleh menjalani rawatan pemulihan seperti yang dilakukan oleh Hospital Columbia. "Kami
menerima pesakit yang disahkan menghidap strok dan diminta melakukan
rawatan susulan di sini. Pesakit boleh sembuh dengan adanya rawatan
fisioterapi dan penjagaan khas dalam jangka masa panjang dari segi
pemakanan dan gaya hidup mereka," katanya. Ditanya
sejauh mana kepentingan melakukan pemulihan segera terhadap mangsa
strok , beliau menegaskan ia adalah amat penting kerana setiap mangsa
mesti mendapatkan rawatan pemulihan secepat mungkin.
Ini kerana semakin cepat terapi pemulihan dimulakan, semakin cepat otak mempelajari semula pergerakan yang normal dan kelewatan akan menyukarkan proses pemulihan. "Terapi pemulihan meliputi fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan dan kaunseling. Di sini kami turut meminta kerjasama keluarga pesakit bagaimana membantu pesakit mengamalkan gaya hidup sihat. "Antaranya melakukan aktiviti fizikal, pengambilan makanan yang sihat, tidak merokok dan sentiasa melakukan pemeriksaan tekanan darah," jelasnya. Tambah beliau, strok mungkin boleh menyerang buat kali kedua. Oleh itu, amat penting membuat pemeriksaan perubatan secara tetap supaya tekanan darah, paras kolestrol dan berat badan dapat diawasi.
Wassalam
Rizali Masri
\(^_*)/
0 respons pembaca:
Post a Comment
Hi everyone .. please leave your comment here