ads top

Bangkit Dari Masalah, Fokus Pada Output



Fokus pada kekuatan diri 

Kita harus sedar kita ada kekuatan. Apa bakat kita, apa kemahiran kita, apa keunikan kita, itulah yang dinamakan kekuatan. Kita menjadi ‘kuat’ apabila kita merasa yakin dapat mencapai sesuatu pencapaian yang hebat. Apabila kita berushaa untuk mencapai sesuatu tetapi kemudian kita gagal, kegagalan yang berlaku itu kebanyakannya akan menyentap semangat kita. Keadaan di kala ini adalah merupakan detik paling penting samada kita mampu bangkit atau terus jauh mengalah dan ketinggalan tanpa sebarang usaha.

Jika kebangkitan diri ini tidak terkawal, ini akan menjejaskan reputasi diri. Anda akan kehilangan inspirasi. Emosi dan semangat akan down. Jika anda melalui situasi sebegini, jangan mulakan apa-apa usaha baru. Pergilah bercuti seketika, rehatkan minda tenangkan fikiran dan beri masa pada emosi anda untuk pulih semula. Ianya mungkin memakan masa, namun tanpa mereset semula emosi dan semangat, segala apa yang anda cuba usahakan mungkin membawa kepada usaha sia-sia, lagi parah andai anda semakin tertekan.


Bagaimana hendak tahu emosi anda sudah pulih?

Emosi anda akan pulih semula apabila anda sudah memiliki kembali semangat dan kekuatan keinginan untuk mencapai matlamat yang telah gagal itu untuk anda set semula dengan iringan pelbagai momentum yang lebih baik berbanding sebelumnya. Perlu diingat, dalam melakukan sesuatu perkara, kita harus fokus seandainya kita ingin maksimakan impak atau kesan terhadap sesuatu usaha yang dirancang dan lakukan. Ianya ibarat, andai kita melakukan 50% input, kita tidak akan mudah mendapat 100% output. Kerana selalunya hal bertentangan akan terjadi sebaliknya, seperti kita meletakkan usaha 100% barulah outputnya turut 100% atau mungkin kurang sedikit namun ianya masih di tahap matlamat asal anda. Oleh itu, perancangan, pelaksanaan, perjalanan (merangkumi emosi dan minda) anda amat memainkan peranan penting dalam keberhasilan segala perkara yang anda inginkan.

Ya, setiap dari kita yang bergelar manusia pastinya akan sering menghadapi pelbagai masalah dan perasaan kecewa, ini kerana kita mempunyai perasaan dan setiap hari kita bakal terdedah dengan masalah samada di tempat kerja, di rumah atau dimana-mana. Oleh itu, persediaan dan mencari jalan penyelesaian dengan pantas amat diperlukan. Kita tidak boleh lari dari masalah, tetapi apa cara sekalipun kita harus juga hadapinya dengan tabah dan sabar. Malah, kematangan dan kewarasan akan fikiran amat dituntut.

Setiap kali anda merasa tertekan ketika berhadapan dengan cabaran hebat, beri sedikit masa untuk emosi anda bertenang. Cuba luahkan kepada rakan rapat atau orang yang dipercayai, atau mungkin sekiranya anda lebih suka bersendiri cubalah untuk bersendirian. Lakukan solat taubat, lakukan tahajjud sepertiga malam seorang diri, kemudian dalam keadaan gelap dan sunyi itu, anda pejamkanlah mata, tenangkan fikiran dan kalau perlu menangis, menangislah. 

Jangan dipendam kerana masalah yang dipendam seorang diri pastinya tidak baik untuk kesihatan dan persekitaran anda. Kalau perlu, pergilah bercuti ke suatu tempat yang dapat memberi ketenangan anda tanpa fikiran dan gangguan. Antara tempat yang sesuai mungkin saja yang berunsurkan alam semulajadi seperti di pantai (kerana ombak dan pantai tidak akan berpisah walau dipukul badai setiap hari, namun ianya tetap ada pasang surut). Mungkin ke tempat yang damai seperti sawah padi, ke rumah anak-anak yatim atau mana-mana tempat yang selesa bagi jiwa anda.


Emosi tenang menjadikan anda bertindak lebih tepat dan cepat. tetap FOKUS!

Emosi yang tertekan pastinya akan membuat anda bertindak dengan penuh kelam kabut dan serabut yang mana akhirnya akan membuat anda melakukan banyak kesilapan dan perkara yang tidak masuk akal. Ianya akan menjadi lebih parah sekiranya anda terbawa-bawa perasaan dan mudah dihasut syaitan. Bila kesilapan dah banyak dilakukan, kesannya anda akan jumpa banyak kegagalan kecil dan mungkin saja lebih besar.

Oleh itu, jangan pernah merasa diri anda kecil berbanding orang lain disekeliling anda. Kegagalan sebenarnya mendidik anda supaya lebih tahu cara yang betul. Kegagalan sebenarnya petunjuk untuk anda cari teknik yang betul supaya dari situ anda mendapat apa yang dimahukan. Masalahnya, kita selalu inginkan hasil cepat tetapi bila hasilnya tidak cepat sepertiyang diimpikan kemudian gagal pula, kita cepat juga merasa sakit hati. Inilah kekurangan kita yang kadangkala menjatuhkan emosi dan semangat kita.

Kita kena mengawal rasa kecewa dan hilang semangat supaya kita dapat berusaha lagi. Bangkit dari rasa jatuh dan terus bangun dengan memberi fokus pada kekuatan diri sekiranya anda ingin berhadapan dengan masalah tanpa perlu rasa kecewa yang berpanjangan. Percayalah bahawa setiap orang ada masalah masing-masing, namun antara mereka yang berjaya bangkit dan melakar kejayaan adalah kerana mereka tidak memandang berat akan masalah tetapi mereka memberi fokus pada jalan penyelesaian dan cara bagaimana untuk terus bangkit. Jika orang lain boleh berjaya, mengapa tidak anda..?



 ~ Wassalam ~


Rizali Masri
Share on Google Plus

Tentang Rizali Masri

RizaliMasriDotCom asasnya adalah sebuah website peribadi yang berkongsi artikel berkenaan keusahawanan, motivasi, isu semasa, kesihatan, ilmu pengetahuan dan travelog. Kini, website ini turut menyediakan pelbagai tawaran kursus keusahawanan, video marketing, membina website / e-commerce. Hubungi saya di 011-1636 2729.

0 respons pembaca:

Post a Comment

Hi everyone .. please leave your comment here