Medan Ikan Bakar Senibong

Hari ini saya ingin berkongsi tentang satu tempat makan yang menarik di Johor Bahru. Tiba-tiba ingin berkongsi sebab saya baru balik makan di medan ikan bakar Senibong. Menceritakan sedikit tentang apa yang menarik di tempat ini, sudah pastinya pelbagai hidangan makanan laut ada disini =) Lokasi kali ini memang amat digemari oleh warga Johor dan juga warga Singapura yang inginkan suasana makanan laut yang amat menarik dengan lokasi yang cantik, romantik serta permandangan yang begitu indah dan nyaman.



Medan ikan bakar Senibong memang merupakan salah satu lokasi wajib buat mereka yang pertama kali ke Johor Bahru. Ini merupakan kali kedua saya ke sini, kali pertama ketika membawa kawan saya yang bekerja di Jeddah Arab dan itu permintaan beliau untuk memakan makanan laut disini =) Kami seronok memilih pelbagai jenis pilihan makanan antaranya udang, ketam, ikan kerapu, sotong, sayur kailan, telur bistik, serta pelbagai jenis minuman sampai penuh 2 meja, walhal yang memakan kesemuanya cuma 3 orang sahaja. Mudah cakap memang tidak larat hendak habiskan kerana terlalu kenyang perut. Jumlah makanan kesemuanya lebih dari seratus ringgit ke atas.

Medan ikan bakar Senibong terletak di kawasan Permas Jaya, Johor Bahru. Ianya merupakan satu lokasi tepi pantai dengan dihiasi permandangan lampu-lampu berwarna-warni pastinya membuat anda merasa nyaman dan tenang. Kebiasaannya kawasan ini bukanlah dipenuhi dengan pasangan kekasih tetapi lebih kepada kawan-kawan, para pelancong serta jamuan syarikat serta ahli keluarga. Kadar makanan segar disini agak mahal, namun ianya suatu kepuasan kepada anda kerana panorama yang cantik dan indah menjanjikan kepuasan anda ketika makan.

Malam tadi saya dan 3 orang kawan di tempat kerja lama makan di sini, dan kami memesan nasi lemak ayam rendang selepas kawan saya bermain futsal. Ianya pertama kali juga merasa menu baru disitu iaitu nasi lemak ayam rendang. Nikmat rasa nasi lemak tadi memang amat sedap sehinggakan kami rasa tidak puas dan hendak memesan lagi satu pinggan. Cuma apabila habis licin satu pinggan, belum sempat hendak memesan yang baru. Masing-masing sudah merasa kenyang =) Tapi keenakan nasi lemak yang dihidangkan tadi sememangnya amat memuaskan hati saya kerana memang sedap rasanya tidak seperti di tempat lain.

Kawasan letak kereta disini pada hari biasa tidak terlalu sesak dan tidak dikenakan bayaran, tetapi sekiranya anda datang pada hari hujung minggu, keadaan disini amat sesak dengan pengunjung yang sememangnya amat menggemari masakan laut. Pada hujung minggu juga, untuk memasuki kawasan ini dikenakan bayaran meletak kenderaan =) Oleh itu terpulang pada anda untuk membuat pilihan hari yang sesuai untuk berkunjung disini. Terdapat dua kawasan bersebelahan dikawasan disini, salah satunya amat terkenal dengan makanan nasi lemak istimewa dan restoran sebelahnya pula adalah restoran baru yang merupakan gabungan banyak restoran bersebelahan. Sudah pastinya restoran yang baru itu lebih menarik, lebih banyak menu dan ramai pelayan yang akan mengejar anda untuk memasuki restoran mereka dan yang paling penting adalah harga juga turut istimewa =) Terpulang pada anda untuk membuat pilihan menu. 

Antara cara untuk anda menganggarkan jumlah perbelanjaan makanan disini adalah pastikan anda bertanya harga dahulu setiap ikan, udang, sotong dan ketam sebelum memilih untuk dimasak. Purata harga makanan laut segar disini adalah sekitar RM20 sehingga RM200 seekor. Setakat ini aktiviti jalan saya di sekitar restoran makanan laut popular yang pernah saya kunjungi di sekitar Johor Bahru adalah di Stulang Laut  bersebelahan The Zone, di Pendas arah ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan lokasi baru iaitu di Senibong kawasan Permas. Ketiga-tiga lokasi makanan laut ini, saya mengesyorkan anda untuk ke Senibong kerana suasana di sini amat selesa berbanding di tempat lain. Bagi anda yang inginkan makanan laut yang lebih eksklusif dan mahal, anda boleh berkunjung ke Danga Bay. Cuma kebiasaannya harga makanan di Danga Bay agak mahal dan terpulang pada anda untuk membuat keputusan kerana harga disini memang banyak perbezaan berbanding makanan yang sama di tempat lain.

Danga Bay kebiasaannya sesuai untuk mereka yang berpasangan kekasih dan juga mereka yang inginkan satu taraf mewah untuk berbincang terutamanya para ahli perniagaan untuk berbincang berkenaan projek =) Menariknya di Danga Bay, anda bukan sahaja dihidangkan dengan makanan, malah suasana romantik turut dihidangkan berserta dengan nyanyian kumpulan pemuzik secara langsung. Lagu-lagu yang didendangkan amat istimewa kerana lagu yang dinyanyikan diiringi dengan petikan gitar akustik dan penyanyi yang bersuara lunak. Selain itu, terdapat banyak tempat hiburan seperti keretapi bergerak, basikal, roller coaster, star cruise, taman tema mini serta zoo mini. Tetapi untuk perkongsian jalan-jalan di Danga Bay nanti saya kongsikan bila ada masa di lain waktu. Senibong adalah antara lokasi yang patut dikunjungi bagi mereka yang berkunjung ke Johor Bahru, kerana ianya satu kerugian jika anda tidak berkunjung  ke sini. 


Kepada para pelancong luar negara, Senibong juga adalah merupakan destinasi yang popular untuk dikunjungi. Pastikan anda merasakan keenakan makanan segar disini yang pastinya menggamit sejuta kenangan anda ketika melawat Johor Bahru. Nasihat saya kepada mereka yang ingin merasa masakan laut segar di Senibong, pastikan anda membawa duit poket lebih kerana tiada mesin ATM berdekatan disini, namun harga makanan disini tiadalah terlalu mahal dan ianya bergantung kepada kebijaksanaan anda memilih makanan. Jangan lupa untuk membuat kira-kira dahulu sebelum menunjuk makanan laut untuk di masak. Setakat ini sahaja sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan kepada anda untuk kali ini. Jangan lupa untuk berkunjung di sini dan pastikan anda membawa kamera kerana permandangan disini amat cantik dan indah. Sekian =)



~rizali masri~
\(^_*)/
Cetak

2 comments:

  1. saya dah ke sana beberapa kali. so far so good la.
    ini pun planning nak ke sana lagi this week dengan kwn dari KL

    ReplyDelete
  2. ye ke..? so blhla join sekaki payung sama2 makan seafood.. hehe

    ReplyDelete

Hi everyone .. please leave your comment here ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...