ads top

The Silent Killer

Malam tadi selepas maghrib saya tertidur sekejap semasa menonton televisyen, sedar-sedar sudah pukul 10 malam =) Ngantuk sangat sebab tidak cukup tidur semalaman dan bangun awal pagi sebab ada kerja kena selesaikan. Dan sekarang sudah pukul 1 pagi, baru sudah makan nasi goreng paprik, telur mata, sup kosong dan air milo. 

Kalau selalu macam ini boleh berisi rasanya badan saya atau lebih tepat boleh gemuk =) tapi malam ini saja sebab tadi tertidur  sebab letih sangat dan tidak seperti selalu yang sememangnya tidak cukup tidur tapi tiada sampai tertidur. Sambil saya makan tadi saya membaca buku berkaitan satu topik iaitu "Silent Killer" atau dalam bahasa melayu "Pembunuh Senyap" lebih kuranglah rasa tafsirannya =)



Sekiranya cuma ada satu musuh sahaja sudah boleh mengalahkan anda untuk tidak berjaya dan mengeluarkan segala kehebatan diri, benda itu ialah Procrastinate "The Silent Killer" atau dalam bahasa mudahnya melewatkan masa kerja atau menangguhkan masa kerja.

Adakalanya ketika anda mendapat satu peluang yang amat berharga dan sekiranya anda melakukan perkara tersebut, adakah anda terus memberi fokus pada perkara itu atau sengaja melewatkan dan menangguhkan kerja tersebut. Ianya suatu perkara yang normal bila mana kita bersifat menangguhkan kerja, kerana ianya suatu penyakit dan mungkin akan berjangkit =) Ya, pada saya ianya akan berjangkit terutama mereka yang berada di persekitaran kita. Perkara ini mungkin disebabkan terlalu banyak sangat kerja yang harus diutamakan dan didahulukan. Muncul seribu satu alasan keluar dari mulut anda seandainya ditanya. Penyakit ini pun memang selalu menyerang saya juga, cuma anda kena bijak mengatasinya =) 

Kebiasaannya peluang datang ketika kita masih belum bersedia dan belum membuat sebarang persiapan. Oleh itu, ramai antara kita tidak dapat mengambil peluang itu dan seterusnya menjadikannya suatu alasan untuk anda menangguhkan kerja. Salah satu contoh yang cuba saya sampaikan disini adalah berkaitan dengan pembacaan buku. Secara jujur saya memang malas hendak membaca buku. Penyakit itu sudah menyerang saya sejak kecil lagi. Tapi mungkin disebabkan banyak faktor yang mempengaruhi dan berada di sekitar saya, penyakit suka menangguhkan kerja itu semakin mula saya sedari akan kesan dan akibatnya. Andaikan saya membaca satu hari mana-mana buku berkaitan motivasi dan perniagaan, secara purata dalam sebulan saya sudah mendapat 30 buah ilmu berkaitan motivasi dan perniagaan. Kalau setahun..? =) Saya memang suka membaca sekarang tetapi cuma hanya pada buku-buku yang amat saya gemari terutama berkaitan motivasi diri, perniagaan dan psikologi manusia. 

Oleh itu, salah satu caranya untuk anda tidak menangguhkan sesuatu kerja itu adalah dengan melakukan sesuatu perkara yang sememangnya anda betul-betul minat. Perubahan akan berlaku jika anda lakukannya dari sekarang =) Sebelum mencapai 1000 langkah, ianya dimulai dengan langkah yang pertama.

Percaya tidak bahawa ramai pakar-pakar dalam industri dan usahawan-usahawan yang berjaya dan mencapai tahap jutawan telah membaca lebih dari 100 buah buku yang berkenaan dengan bidang kepakaran masing-masing. Semuanya adalah bermula dengan hanya memulakan pembacaan buku yang pertama. Sekiranya anda membaca 36 buku dalam setahun, anda akan menjadi pakar industri bidang anda dalam masa 3 tahun dari sekarang =)
Mungkin pada ketika dulu saya masih belajar dan cita-cita saya terbatas sekadar membaca hanya untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang, tetapi selepas saya keluar dari universiti saya merasakan kita memang kena teruskan untuk membaca tetapi bukan untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang tetapi membaca untuk lulus dalam kehidupan dengan cemerlang. Membaca adalah amalan mulia =) Tidak rugi anda membaca 100 buah buku walaupun terpaksa mengeluarkan duit dan masa kerana ilmu yang ada dalam fikiran anda akan lebih bermakna dari segala kos yang telah anda gunakan membeli buku tersebut. 

Malah ianya akan lebih berharga sekiranya dengan ilmu tersebut anda mampu untuk membuat duit seperti menjadi penceramah dan pakar motivasi kelak =) Sekarang baru anda faham maksud saya kenapa kita harus tidak melengahkan masa kerja. Seandainya anda boleh berjaya dalam lagi 3 tahun, tetapi disebabkan penyakit 'procrastination' itu telah menular dalam diri maka anda mungkin tidak akan berjaya dalam masa itu dan mungkin masih jauh perjalanan untuk anda.

'Procrastination' adalah musuh utama dalam mencapai kejayaan. Pakar motivasi Anthony Robbins menggelarkannya sebagai penyakit "The Silent Killer". Cuba anda fikirkan sejenak suatu ketika 3 tahun yang lepas, 2 tahun yang lepas, 1 tahun lepas dan mungkin kini. Ada tidak sesuatu perkara yang perlu anda ubah dalam menjadi seorang yang berjaya dalam hidup? Adakah anda sudah memikirkan dalam masa 10 tahun akan datang anda ingin mencapai kejayaan di tahap mana? Semua itu harus anda fikirkan sekarang kerana ianya masih belum terlambat. Sekiranya anda masih melambat-lambatkan usaha anda dari sekarang hanya kerana dengan melengah-lengahkan masa dengan seribu alasan, anda mungkin masih di tahap yang sama.

Ingin saya kongsikan disini berkenaan dengan kata-kata Dato' Dr Haji Fadzilah Kamsah bahawa "Orang yang berjaya sentiasa mencari jalan, Orang yang selalu gagal sentiasa mencari alasan" =) Oleh itu, janganlah kita mencari alasan macam-macam, melayu susahlah hendak maju, orang miskin susahlah hendak kaya, susahlah hendak jadi rajin dan pelbagai lagi alasan yang diberikan. Sekiranya kita hendak menjadi suatu bangsa berjaya dan disegani oleh bangsa lain, bangunlah untuk berusaha walaupun penat dan tidak dihargai kerana seandainya semua kita berfikiran melakukan sesuatu perkara bukan semata-mata untuk mendapat puji-pujian dan nama, maka akan berjayalah bangsa kita yang mana kesemuanya membuat kebaikan tanpa disuruh dan ikhlas dalam melakukan kebajikan. Marilah sama-sama kita berjuang demi martabat nusabangsa dan agama =)

Macam yang saya sebutkan tadi juga berkaitan dengan melengahkan masa, seandainya anda melengahkan masa berfikir bagaimana caranya untuk mengubah taraf hidup anda mengecapi kejayaan, maksudnya anda sendiri yang tidak ingin berjaya. Seandainya anda menunggu untuk berfikir tentang masa depan hanya selepas habis peperiksaan SPM, maka pada ketika anda hendak memikirkan perkara yang terbaik untuk masa depan, anda sudah jauh ketinggalan. Zaman kini semua orang berlumba-lumba untuk berjaya, oleh itu sekiranya anda tidak fikirkan sekarang anda akan dikategorikan sebagai orang yang ketinggalan. Oleh itu saya menyeru agar kita semua lakukannya dari sekarang agar bangsa kita tidak ketinggalan =)


Majulah wahai bangsaku yang amat dikasihi sekalian =) Sama-sama kita berganding bahu saling menghulur tangan. Seperti pepatah melayu ada menyebut "Yang Berat Sama Dipikul, Yang Ringan Sama Di Jinjing". Janganlah kita asyik ingin bertengkar sesama bangsa hanya semata-mata perjuangan yang membawa kepada perpecahan. Banyak kaedah yang mungkin sesuai untuk menyeru bangsa kita bersatu bukan dengan cara memaki hamun, menyalahkan antara satu dengan yang lain, mencari salah orang lain dan sebagainya yang akhirnya merugikan semua. 

Jadilah bangsa yang maju serba serbi, jadilah golongan yang berjaya kerana dengan kejayaan itulah kita mampu untuk melakukan perubahan yang ketara bukan sekadar suara-suara kosong sahaja seperti "Anjing Menyalak Bukit" kerana ianya tidak akan membawa sebarang perubahan =) Oleh itu, untuk kita sama-sama berjaya, mulakanlah perubahan anda itu dari sekarang, jangan bersifat suka menangguhkan kerja. Jangan ingin tunggu kaya baru hendak bersedekah, jangan tunggu ada masa baru hendak membuat kerja, jangan tunggu sudah kerja baru hendak berbakti, jangan tunggu sihat baru hendak menolong. 


Akhir sekali, ingin saya kongsikan disini maksud surah An-Nas yang terkandung dalam Qur'an yang ada  menyebut tentang "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian" =) Teringat pula saya akan lagu Nasyid kumpulan Raihan yang ada menyebut tentang "Ingat 5 Perkara, Sebelum 5 Perkara". Saya turut menasihati diri saya dan juga menyeru kepada anda semua yang dihormati sekalian agar kita sama-sama menuju kejayaan. Hari-hari kita dengar ketika waktu azan berkumandang. "Marilah Menuju Kejayaan". Islam menyeru umatnya dalam mengejar kejayaan duniawi dan juga akhirat. Sama-sama renungkan. Setiap yang baik itu datangnya dari Allah dan sesuatu yang buruk itu adalah datangnya dari kelemahan diri saya sendiri. Wassalam..  



~ rizali masri~
\(^_*)/
Share on Google Plus

Tentang Rizali Masri

RizaliMasriDotCom asasnya adalah sebuah website peribadi yang berkongsi artikel berkenaan keusahawanan, motivasi, isu semasa, kesihatan, ilmu pengetahuan dan travelog. Kini, website ini turut menyediakan pelbagai tawaran kursus keusahawanan, video marketing, membina website / e-commerce. Hubungi saya di 011-1636 2729.

0 respons pembaca:

Post a Comment

Hi everyone .. please leave your comment here