ads top

Semoga Dia Memeluk Islam

Di suatu hari ketika saya bersarapan pagi seorang diri di sebuah restoran mamak. Oleh kerana tiada sarapan lain kerana hari Sabtu, saya memesan teh tarik dan roti canai dan duduk di meja depan restoran seorang diri. Kebetulan, restoran mamak itu terus penuh dengan pelanggan sehinggakan tiada ruang meja yang kosong.



Sedang saya sarapan dan sambil termenung seorang diri seketika memikirkan masa depan, tiba-tiba ada seseorang menyapa saya dari belakang dan ingin bersarapan di meja saya kerana masih ada ruang kosong di meja saya. Saya pun benarkan pakcik itu duduk dan sarapan sama-sama. Sambil bersarapan, bermulalah perbualan kami yang biasa-biasa sebagai perkenalan. Ketika itu baru pukul 8 pagi. Mungkin kerana saya sudah biasa berbual dan berbincang dengan orang-orang yang jauh lebih tua dari saya, oleh itu keserasian dan cara berfikir saya mungkin hampir sama dengan mereka-mereka yang jauh lebih matang dan berumur dari saya.



Perbualan kami hampir 3 jam setengah kerana macam-macam isu yang kami bicarakan antaranya isu kebajikan, isu perniagaan, isu politik, isu perkauman, isu semasa dan yang paling menarik ialah isu berkaitan agama Islam =) Setelah 2 jam kami berbual tentang keindahan Islam, baru beliau perkenalkan diri bahawa dirinya adalah seorang yang beragama kristian bukannya beragama Islam. Tersentak juga saya kerana saya ingatkan beliau adalah seorang muslim. Tapi tidak mengapalah kerana bahasa inggerisnya amat lancar dan pertuturan bahasa melayunya turut jelas. Menceritakan sedikit peribadi pakcik ini, beliau seorang yang bekerja di syarikat perkapalan di Singapura hampir 7 tahun. Pakaian dan perwatakannya biasa-biasa sahaja. Umur beliau yang tepat saya tidak pasti, tetapi dari perbualan kami, saya dapat rasakan umur beliau antara lewat 40-an ke 50-an.
  
Saya ada menceritakan kepada beliau bahawa islam mengajar umatnya untuk sentiasa menolong orang tanpa mengira bangsa atau agama. Berbuat baik kepada semua dan tidak pernah membeza-bezakan antara yang miskin dengan yang kaya, yang pandai dengan yang kurang pandai, dan antara satu agama dengan agama lain. Kerana Islam itu suci dan mengajar umatnya ke arah kebenaran. Walaupun saya berterus terang kepada beliau bahawa saya bukanlah seorang ustaz atau seorang lelaki yang terlalu alim, tapi sebagai seorang muslim saya bangga dengan pegangan agama saya dan harus saya kongsikan kepada mereka yang beragama lain. Sudah menjadi kewajipan saya untuk menunjukkan kepada agama lain bahawa inilah keindahan islam sekiranya ianya hadir dari hati.


Perbualan kami semakin rancak kerana pakcik itu seakan-akan berminat dengan setiap kata-kata saya =) Saya dengan rendah dirinya berkata pada beliau bahawa islam wujud dari HATI. Islam mengajar umatnya untuk saling membantu dan dengan adanya pegangan Islam, manusia akan lebih merasakan ketenangan dan kebahagian kerana Allah itu Maha Mendengar, Maha Penyayang, Maha Berkuasa dan Maha Segala-galanya. Dengan menunjukkan minat dan keinginan untuk mengetahui lebih lanjut, pakcik itu terus bertanyakan banyak persoalan dan inginkan maklumat dari saya tentang Islam walaupun pakcik itu boleh diibaratkan sebaya dengan umur ibu saya. Tapi itulah kelebihan islam, bersifat terbuka untuk menyampaikan ilmu kepada sesiapa sahaja yang ingin mendalaminya, semoga terdetik suatu perasaan yang dikurniakan Allah untuk beliau mendalami agama islam dengan lebih mendalam =)



Saya ada menceritakan pengalaman saya kepada beliau sewaktu saya menuntut di USM Pulau Pinang dahulu, di mana rakan sebilik saya, Alexson namanya adalah seorang yang bukan beragama islam. Walaupun saya bukanlah seorang yang terlalu alim, tapi saya sentiasa menunjukkan bahawa Islam itu indah. Rupa-rupanya rakan sebilik saya itu memang sudah lama ingin mendalami islam lebih dekat. Tanpa berputus asa, saya bantu Alex dengan mengambil buku-buku agama di Surau yang terletak di depan bilik saya sahaja, dan adakalanya pula saya sengaja bersembahyang dan membaca yassin di dalam bilik sambil diperhatikan beliau. 


Doa saya dalam hati, semoga Alex diberikan hidayah dan dibukakan pintu hatinya untuk memeluk islam. Sewaktu bulan Ramadhan menjelma, kami bangun seawal pukul 5 pagi dan sahur sama-sama, dan waktu berbuka puasa saya temankan beliau dan kawan-kawan lain yang ada walaupun beliau belum memeluk islam waktu itu. Cuma pada masa itu beliau masih belum mahu untuk menceritakan kepada semua, kerana beliau sendiri mahu memeluk islam atas dasar keinginan yang kuat dari hati beliau  sendiri. Bukan kerana kekasih, keluarga atau siapa-siapa.


Dalam setahun macam itu, Alex ada bertanya saya untuk memeluk islam dan sudah pun bersedia. Alhamdulillah, Syukur Ya Allah..! Kau telah bukakan pintu hati sahabat baik ku ini =) Nama beliau selepas menjadi muallaf adalah Muhammad Haziq Bin Abdullah, suatu nama yang indah dan saya juga nampak seri muka beliau semakin berseri dengan cahaya Islam yang bersinar dari raut wajahnya. Haziq baru selamat berkahwin pada bulan lepas dengan seorang gadis melayu pilihan hatinya sendiri =)


Melihat pakcik tadi semakin teruja, saya menceritakan lagi seorang sahabat perniagaan saya, seorang lelaki berbangsa India dan berasal dari Kedah. Beliau adalah seorang yang suka berjudi dan melakukan perkara-perkara yang teruk serta meminum arak sehingga mabuk. Ketika itu beliau adalah seorang pengurus di sebuah kilang, namun beliau merasakan tidak ada ketenangan dalam hidupnya serta tiada arah tuju. Namun, kawan-kawan baiknya sewaktu beliau bekerja di kilang telah banyak membantu dan membukakan pintu hatinya kearah islam, dan perkenalan saya dengan beliau juga adalah secara kebetulan dan sewaktu itu beliau sudah memeluk islam dan sudah berkahwin dengan seorang gadis melayu berasal dari Batu Pahat, Johor. Saya berkata kepada pakcik tadi itu bahawa setelah kawan saya itu memeluk islam, beliau merasakan suatu rezeki dan ketenangan yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. Beliau kini telah berjaya dalam perniagaannya dan telah memiliki sebuah kehidupan yang mewah berkat dari beliau memeluk islam =)


Menjawab persoalan beliau tentang rezeki yang Allah berikan pula, saya menerangkan kepada beliau berkaitan konsep bersedekah dan berzakat. Di mana sekiranya kita membantu orang lain, Allah akan berikan ganjaran kita dalam pelbagai bentuk yang berbeza-beza, Islam mengajar umatnya erti keamanan dan kedamaian. Semua orang berhak untuk merasa nikmat hidup dan merasa bahagia. Seandainya kita semua saling membantu dan bersedekah, maka tiada golongan yang hidup miskin dan menderita kebuluran. Itulah kekuatan islam yang mampu dijadikan sebagai prinsip hidup yang hakiki. Ketenangan dan kenikmatan hidup akan muncul dari rezeki yang Allah berikan kepada kita sebagai ganjaranNya. Kekuatan islam juga terletak pada doa, oleh kerana itu islam mengajar umatnya untuk terus berdoa tanpa putus asa, berusaha dengan tekun dan ikhlas dan kemudian barulah bertawakkal hanya kepadaNya.

Pakcik itu pun kagum dengan kata-kata saya dan beliau mampu melihat jauh ke dalam sudut hati saya rupanya, tapi tidak perlulah saya ceritakan di sini, cukuplah sekadar itu antara saya dan beliau sahaja =) Setelah hampir 3 jam setengah kami berbual hingga sudah banyak meja makan yang kosong, akhirnya saya terpaksa pulang kerana ada kerja yang perlu diselesaikan, akhirnya beliau meminta kad perniagaan saya dan ayat terakhir beliau sewaktu kami hendak berpisah. "Saya ini Kristian, tapi saya merasakan hidup saya tiada pegangan dan ketenangan, mana tahu nanti saya terbuka hati untuk memeluk agama Islam seperti apa yang awak terangkan tadi". Saya menjawab kata-kata beliau dengan berkata "InsyaAllah Uncle.." sambil tersenyum =)

Semoga pakcik itu dibukakan hati dan diterangi cahaya Islam di dalam hati beliau. Seandainya kita menunjukkan erti sebenar Islam  dan keindahannya kepada agama lain, dan sekiranya kita ditemukan dengan seseorang penganut agama lain yang muncul secara tiba-tiba, sampaikan lah keindahan dan kesucian islam itu yang muncul dari lubuk hati untuk disebarkan kepada semua dengan penuh rasa hormat dan ikhlas. InsyaAllah mereka yang beragama lain mampu menilai sejauh mana keikhlasan hati kita seterusnya melahirkan rasa hormat dan cinta terhadap agama islam. Walaupun saya bukan seorang alim ulama' tapi sekurang-kurangnya  sebagai khalifah di muka bumi Allah ini saya turut berjuang bersama dalam menjaga dan menyebarkan agama Islam yang kita cintai dalam bentuk dan penyampaian yang berbeza =) Sama-sama kita doakan pakcik tadi itu memeluk islam dan sentiasalah membantu dengan memberi dorongan sebaik mungkin kepada penganut agama lain yang ingin memeluk islam. Setiap perkara yang baik itu datangnya dari Allah dan setiap perkara yang buruk itu adalah dari kelemahan diri saya sendiri. Wassalam..





~rizali masri~
\(^_*)/
Share on Google Plus

Tentang Rizali Masri

RizaliMasriDotCom asasnya adalah sebuah website peribadi yang berkongsi artikel berkenaan keusahawanan, motivasi, isu semasa, kesihatan, ilmu pengetahuan dan travelog. Kini, website ini turut menyediakan pelbagai tawaran kursus keusahawanan, video marketing, membina website / e-commerce. Hubungi saya di 011-1636 2729.

0 respons pembaca:

Post a Comment

Hi everyone .. please leave your comment here