ads top

Dilema Anak Muda Bekerja Sendiri


Dunia perniagaan, sememangnya bukan suatu bidang yang mudah untuk dicapai. Luahan hati seorang anak muda menjalani liku-liku bergelar seorang usahawan. Segala perit jerih yang terpaksa ditempuhi sepanjang perjuangan. Namun, perjuangan masih belum selesai dan akan tetap terus diperjuangkan selagi kudrat mengizinkan. Onak dan duri adalah perkara pertama yang mendasari serta merintangi bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan sendiri adalah kekangan daripada pihak keluarga sendiri. Realitinya, majoriti mentaliti masyarakat kita masih beranggapan anak-anak mereka 'sudah mendapat' kerja apabila mereka 'makan gaji'. Kenyataan itu saya akui. Pada dasarnya keluarga saya sendiri menentang dan risau akan pilihan yang dibuat. Pada mereka perniagaan adalah suatu cabang yang penuh dengan risiko dan sering dipandang rendah.


Ya, mereka yang bercita-cita menjadi seorang usahawan itu bukanlah merupakan satu pekerjaan yang diiktiraf. Apatah lagi pekerjaan yang tidak mempunyai EPF, SOCSO dan lain-lain. Kebiasaannya mereka akan menjadi malu serta terbitlah gejala 'inferiority complex' apabila anak mereka tidak makan gaji disebabkan bagi mereka, orang yang tidak makan gaji serupa dengan dengan orang yang belum mendapat pekerjaan. Malu dan tidak tahu pekerjaan apa yang mudah diceritakan pada orang lain.

Bagi mereka yang ingin mencari calon menantu pula, keutamaan tanpa ragu diserahkan kepada mereka yang berkerja kerajaan. Kalau tidak berkerja gomen (government) sekalipun, kerja swasta masih boleh dipertimbangkan. Kalau bermenantukan orang bisnes atau usahawan ni takut-takut kalau bisnes merundum nanti, anak cucu bakal merempat dan hidup melarat. Ikuti 2 situasi dilema yang sering terjadi kepada mereka yang bekerja sendiri.

Situasi Pertama :

Makcik  : Maaf ya nak, makcik nak tanya sikit, anak ni kerja apa? Gomen ke kerja sendiri?
Budak   : Kerja sendiri je makcik..
Makcik  : Wah! Bagus tu? Syarikat anak ni masuk dalam senarai bursa saham ke?
Budak   : Belum lagi, makcik. Bisnes kecil-kecil je. Baru nak cuba berniaga sikit.
Makcik  : Ooo baru? Macam ni lah nak,  makcik tak boleh buat keputusan lagi, nanti makcik bincang dengan anak makcik dan bapanya. Kalau tak ada masalah nanti Insyaallah kami bagitau. Kalau tak ada apa-apa surat menyurat mahupun email, anggaplah permohonan anak tak berjaya. Jangan risau, "bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor"
Budak   : Err..ok...Kalau begitu, saya mintak izin pulang dahulu..
Makcik : Baiklah. Terima kasihlah nak sudi datang ni. Kalau company anak dah masuk bursa saham, bagitaulah makcik ya. Boleh kita bincang-bincang lagi..
Budak   : Err..Insyaallah makcik. Terima kasih. Assalamualaikum.
Makcik  : Waalaikumussalam.
 
Maka pulanglah si lelaki itu dengan kecewa. Harapannya telah hancur berkecai 'bak kaca terhempas ke lantai'. Kasihan dia....

Situasi Kedua : 
Perempuan : Awak, bila nak datang hantar rombongan meminang..?
Lelaki           : Saya tengah kumpul duit lagi ni. bisnes tengah perlukan komitmen sket.
Perempuan : Awak, mak ayah suruh cari bakal suami yang kerja gomen (kerajaan), sebab masa depan terjamin, ada banyak kelebihan kalau nak buat loan (pinjaman bank), beli rumah, kereta dan macam-macam.
Lelaki          : Iya ke..? takkan saya nak lupakan semua usaha keras dan hasrat selama ni semata-mata nak turutkan permintaan mak ayah awak untuk minta kerja gomen..?
Perempuan : Nak buat macamne, mak kata tak kisah kalau lelaki tu gaji kecil sekalipun asalkan dia kerja kerajaan sebab mak tak nak anak dia hidup melarat dan susah nanti.
(Mode : gaduh-gaduh sedikit)
Lelaki          : Kalau awak rasa itu yang terbaik. Kita putus saja dan carilah lelaki penjawat awam seperti yang mak ayah awak minta tu. Kalau awak kahwin dengan saya pun nanti mak ayah awak tak izinkan dan tak dapat restu.
Perempuan : Awak pun belum stabilkan, saya pun kurang yakin dengan bisnes awak. OK, bye..

Si lelaki hampa kerana pasangan yang dipercaya sendiri turut tak memberi sokongan dan memberi seribu satu alasan untuk mematahkan semangat yang di kejar untuk berjaya dalam perniagaan. Itulah realiti masyarakat sekarang. Jiwa kita, mentaliti kita, masih jauh berbeza dengan bangsa lain yang menjadikan kerjaya bisnes dan usahawan itu bidang yang merupakan pilihan utama. Jika mereka tidak mampu berbisnes atau atas dasar minat barulah mencari pekerjaan di bidang swasta dan pilihan terakhir berkerja dengan kerajaan. Mungkin inilah sumbangan 'dasar pecah dan perintah' celupan British suatu ketika dahulu. Jadi, tidak hairanlah bangsa kita masih jauh ketinggalan dalam bidang perniagaan.

Kita sering mengeluh bila ditipu, diinjak, tetapi itulah harga serta maruah diri yang perlu dibayar bila ekonomi kita dipegang oleh orang lain. Tetapi tak usahlah menyalahkan bangsa lain, kerana 'siapa yang berusaha dia yang akan mendapat hasilnya.' Walaupun bangsa kita masih disuap dengan pelbagai bantuan, subsidi, pinjaman dan sebagainya tapi kita masih tidak mampu menggunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya.

Kita masih tidak mampu meniru keperibadian Rasulullah S.A.W yang merupakan seorang businessman, atas akhlak dan kejujuran baginda maka baginda dikenali oleh masyarakat disekelilingnya dan isterinya sendiri, Khadijah Bt Khuwailid sehingga baginda dikenali sebagai "al-Amin" yang bermaksud seorang yang jujur dan ini memberikan satu kelebihan kepada dakwah baginda.

Mentaliti mak ayah kita turut harus diubah, kalau dulu mereka selalu berkata "belajar pandai-pandai, nanti sudah besar jadi cikgu, jadi engineer, jadi doktor". Adakah hanya itu saja kerjaya yang wajib diterap dalam minda anak-anak sewaktu dibangku sekolah..? Zaman telah berubah, seharusnya pemikiran kita juga harus berubah seiring peredaran zaman. Dengan berbisnes kita mampu menguruskan masa sendiri, meluangkan masa untuk kerja-kerja dakwah dan kebajikan dan mempunyai lebihan masa bersama keluarga.

Sebetulnya, seorang manusia yang lahir di dunia ini sebenarnya sudah berhadapan dengan risiko. Malah seorang ibu yang melahirkan kita di dunia ini juga berhadapan dengan risiko kesakitan, kematian dan sebagainya demi untuk kehidupan seorang anak. Kemudian mereka membesarkan kita, mendidik kita, menghantar kita ke sekolah, menikahkan kita dengan berhadapan dengan pelbagai risiko. Kalau sedari mula lagi ibu bapa kita tidak mahu mengambil sebarang risiko, kemungkinan atas alasan itulah kita tidak mungkin berada di dunia ini.

Atas dasar itulah, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian, jangan pernah malu dan berasa hina dengan berniaga hatta untungnya cuma RM0.50 cuma atau berniaga di pasar malam mahupun goreng pisang di jalanan. Berbanggalah, kerana dengan berniaga itulah kita mampu berdikari sendiri tanpa perlu mengikut telunjuk sesiapa.

Hasil yang diperolehi atas keringat sendiri itu pastinya suatu kebanggaan dan kepuasan yang tidak mampu digambarkan oleh mata fikiran. Bak kata seorang sahabat, "berniaga ini seharusnya mendekatkan pergantungan kita dengan Allah kerana gaji kita tidak diberikan oleh sesiapa tetapi kita bertawakkal kepada Allah untuk beroleh rezeki atas perniagaan yang kita usahakan.

Tapi...makan gaji senang..Tiap-tiap bulan cucuk sahaja kad ATM...siapa kata senang? Makan gaji merupakan suatu amanah dari majikan...seharusnya kita memberi 'all out' atas kerja yang diberikan kepada kita...inilah yang susah sikit...fenomena meng'ular', buat kerja yang tak berfaedah, masuk lewat, balik awal...ni semua seakan-akan suatu lumrah bagi pekerja makan gaji.

Gaji itu merupakan rezeki. Jadi, berwaspadalah selalu untuk mendapat rezeki yang berkat. Bagi pekerja yang produktif, teruskan sumbangan anda untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Mentaliti kita juga perlu diubah terutamanya graduan, 'bukan hanya mencari kerja tetapi menyediakan kerja'. Selamat berniaga.

"Orang makan gaji cukup pencen dapat menunaikan Haji, siapa kata kerja sendiri tak mampu..? Mungkin saja mereka lebih mampu menunaikan Haji sebelum pencen."

Kesimpulannya, ketahuilah bahawa perniagaan (kerja sendiri) bukanlah suatu bidang yang harus dipandang rendah, kebiasaan mereka yang bekerja sendiri lebih selesa bersifat merendah diri dan tidak berani riak apatah lagi sombong kerana mereka tahu akan sumber rezeki mereka adalah hasil keberkatan dan rezeki yang Allah berikan. Bila-bila masa saja perniagaan mereka boleh ditarik balik. Itu juga istimewanya mereka yang bekerja sendiri kerana tiada siapa tahu berapakah pendapatan bulanan mereka berbanding mereka yang makan gaji, kita semua tahu akan pendapatan bulanan mereka.

Oleh itu, masyarakat jangan memandang enteng dari budi bicara peniaga yang merendah diri. Ubahlah persepsi anda, perbaikilah mentaliti masyarakat melayu khususnya kerana perniagaan adalah sumber penyumbang kepada pendapatan ekonomi sebuah negara. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda dalam satu hadis berbunyi 9/10 dari sumber rezeki adalah datangnya dari perniagaan. Percayalah dan berusahalah ke arah itu. Sekadar perkongsian bersama untuk menaikkan semangat kepada semua peniaga yang bekerja sendiri dan mereka yang telah menanam azam untuk bekerja sendiri. Mereka adalah golongan yang sememangnya sukakan cabaran dan suka berdikari hasil titik peluh sendiri. Semoga segala usaha yang dilakukan menampakkan hasil dan mendapat keberkatan Ilahi serta mampu disumbangkan kepada golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan bantuan dan kebajikan. Wassalam ~



~ Rizali Masri ~
\(^_*)/

Share on Google Plus

Tentang Rizali Masri

RizaliMasriDotCom asasnya adalah sebuah website peribadi yang berkongsi artikel berkenaan keusahawanan, motivasi, isu semasa, kesihatan, ilmu pengetahuan dan travelog. Kini, website ini turut menyediakan pelbagai tawaran kursus keusahawanan, video marketing, membina website / e-commerce. Hubungi saya di 011-1636 2729.

6 respons pembaca:

  1. Saya amat setuju...dengan artikel ini..

    ReplyDelete
  2. Replies
    1. Saya setuju dengan rizali masri kecuali part "Dalam Al-Quran turut disebut 9/10 sumber rezeki adalah datangnya dari perniagaan". Perbetulkan ayat tu sebab dalam al-quran takde disebut macam tu sebab saya dah check.

      Apa-apa hal pada saya, kerja sendiri lebih baik dari makan gaji

      Delete
  3. Artikel yg bagus untuk kesedaran anak bangsa.

    ReplyDelete
  4. Seseorang itu perlulah berniaga kerana hanya dgn berniaga saja kita dpt menguasai ekonomi seterusnya membantu saudara2 muslim kita yg kesusahan.

    ReplyDelete
  5. Saya setuju sangat.....mentaliti ibu bapa perlu diubah...Allah bagi rezeki, rezeki Allah luas, jangan takut....

    ReplyDelete

Hi everyone .. please leave your comment here